Pelan Pembangunan Masyarakat Orang Asli sedang dimuktamad

 Datuk Seri Mustapa Mohamed
Datuk Seri Mustapa Mohamed
A
A
A

SHAH ALAM - Pelan Pembangunan Masyarakat Orang Asli yang komprehensif sedang dimuktamadkan bagi tujuan meningkatkan pembangunan sosio ekonomi kaum berkenaan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, kerajaan telah menggubal dasar serta melaksanakan program dan projek pembangunan untuk masyarakat orang asli, namun ketika ini kaum tersebut masih lagi ketinggalan dari segi pembangunan sosio ekonomi.

“Pada 2019, insiden kemiskinan dalam kalangan orang asli adalah kira-kira 33.6 peratus. Malah, tahap pendidikan yang rendah telah mengurangkan mobiliti sosial dan kebolehpasaran kumpulan ini.

“Selain itu, kemudahan infrastruktur yang tidak mencukupi, kekurangan ameniti dan perkhidmatan seperti jalan perhubungan, bekalan elektrik, rawatan bekalan air serta telekomunikasi juga turut menjejaskan kesejahteraan masyarakat orang asli,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Pada Jumaat, Mustapa telah mempengerusikan mesyuarat ‘Poverty Circle’ atau Kumpulan Pemikir Mengenai Kemiskinan kali kedua menerusi secara atas talian yang membincangkan mengenai isu-isu berkaitan dengan pembangunan masyarakat orang asli.

Perbincangan tersebut turut dihadiri 35 wakil daripada pihak kerajaan, pihak berkuasa koridor, sektor swasta, ahli akademik, Pertubuhan Masyarakat Sivil (CSO) serta wakil masyarakat orang asli.

Mengulas lanjut, Mustapa berkata, isu berkaitan pembangunan tanah orang asli turut menjejaskan sosio ekonomi kaum tersebut.

Menurutnya, pembangunan orang asli harus merentasi kementerian, bukan hanya bergantung kepada Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) dan Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB).

Artikel Berkaitan:

“Dalam Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK-12), kesejahteraan masyarakat orang asli akan dipertingkatkan bagi memastikan komuniti ini boleh menikmati pembangunan sosio ekonomi negara dengan lebih bermakna.

“Pendekatan pembangunan yang komprehensif ini akan tertumpu kepada pendidikan, usaha mengurangkan kemiskinan serta menyediakan infrastruktur, kemudahan dan perkhidmatan asas yang lebih baik.

“Kesemua inisiatif ini dijangka membantu pencapaian pembangunan yang inklusif serta meningkatkan taraf sosio ekonomi masyarakat orang asli,” katanya.

Dalam kenyataan sama, beliau turut memaklumkan perbincangan kali ketiga kumpulan pemikir akan diadakan dalam tempoh sebulan lagi bagi membincangkan isu kemiskinan di Sabah dan Sarawak, diikuti isu kemiskinan bandar pada pertemuan kali keempat.