Vaksin di bawah PICK mencukupi untuk Sarawak

Bekalan vaksin di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan mencukupi untuk menampung penduduk Sarawak. - Foto Bernama
Bekalan vaksin di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan mencukupi untuk menampung penduduk Sarawak. - Foto Bernama
A
A
A

KUCHING - Bekalan vaksin di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) mencukupi untuk menampung penduduk Sarawak, kata Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sarawak, Datuk Seri Dr Sim Kui Hian.

“Sarawak sangat beruntung, kami bekerjasama rapat dengan kerajaan Persekutuan. Kami pernah menawarkan untuk membeli (vaksin), tetapi kerajaan Persekutuan memaklumkan sebagai sebahagian daripada kewajipan negara, anda tidak perlu beli, kami berikan kepada anda.

“Pada masa ini, kami bertuah kerana mempunyai vaksin mencukupi untuk rakyat,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri satu acara di Hospital Umum Sarawak di sini pada Jumaat.

Dr Kui Hian yang juga Penasihat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak berkata demikian bagi mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bahawa vaksin Sinovac akan dijual oleh Pharmaniaga Bhd kepada negeri-negeri yang berminat.

Pada Khamis, Ismail Sabri dilaporkan berkata, sebanyak 14 juta dos vaksin Sinovac akan dijual oleh Pharmaniaga Bhd kepada negeri dan syarikat swasta yang berminat bermula bulan ini hingga September.

Menurutnya, penjualan vaksin secara terus kepada pihak yang berminat telah mendapat kelulusan Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV), dapat mempercepatkan usaha untuk mencapai imuniti kelompok lebih awal daripada yang dijadualkan. - Bernama

Artikel Berkaitan: