Kerja-kerja ganti regulator di Hospital Ampang sedang dilaksana

Dr Sha'ari Ngadiman
Dr Sha'ari Ngadiman
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Kerja-kerja menggantikan regulator di Hospital Ampang, Selangor bagi menampung keperluan pengguna oksigen sedang dilaksanakan.

Pengarah Kesihatan Selangor, Datuk Dr Sha'ari Ngadiman berkata, kerja-kerja tersebut dijangka siap jam 7 petang pada Jumaat.

"Silinder oksigen di Hospital Ampang juga mencukupi," katanya pada sidang akhbar bersama Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba.

Hadir sama Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Sementara itu, Pengarah Bersama Pasukan Pengurusan Projek Jawatankuasa Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF), Datuk Dr Chong Chee Keong memaklumkan bahawa Hospital Selayang dan Hospital Kuala Lumpur masing-masing bakal menerima port tangki oksigen yang setiap satunya berkapasiti 5,000 liter.

Turut akan mendapat satu port oksigen adalah Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Hospital Pakar Kanak-kanak Universiti Kebangsaan Malaysia (HPKK UKM) dan Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR).

“Untuk bekalan oksigen di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) Bersepadu 2.0 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) Serdang, kita sudah memiliki 1,000 tangki oksigen pelbagai jenis untuk digunakan," katanya.

Menurutnya, Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Datuk Mohd Shafiq Abdullah juga bersetuju untuk menambah tangki oksigen mikro bagi meningkatkan lagi kapasiti bekalan oksigen.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini media melaporkan beberapa hospital di Lembah Klang mengalami kekurangan bekalan oksigen berikutan peningkatan kes jangkitan Covid-19 di kawasan itu.