X

Kindly register in order to view this article
!

MR DIY dan Touch 'n Go jalin kerjasama strategik

Effendy (kiri) dan Ong (kanan) optimis jalinan kerjasama itu akan memberikan manfaat kepada pelanggan mereka.
A
A

SHAH ALAM - MR DIY Group (M) Berhad (MR DIY) dan Touch ‘n Go Group (Touch 'n Go) menjalinkan kerjasama strategik dalam memberikan pengalaman lebih baik kepada pelanggan melalui saluran dalam talian dan luar talian.

Ketua Pegawai Eksekutif MR DIY, Adrian Ong berkata, selain memberikan lebih manfaat dan kemudahan kepada pelanggan, kesemua inisiatif itu disasarkan untuk memastikan pendekatan pemasaran lebih relevan melalui pengkhususan tawaran disokong oleh keupayaan data dan analisis.

Melalui kerjasama itu, katanya, pembeli boleh menambah nilai kad Touch ‘n Go mereka di semua cawangan MR DIY serta menggunakan Touch ‘n Go eWallet bagi membuat bayaran bagi pembelian di cawangan dan laman web e-dagang MR DIY iaitu www.mrdiy.com.my.

“Usaha sama strategik ini melanjutkan lagi usaha kedua-dua syarikat tersebut dan menyaksikan MR DIY akan menjadi salah satu ikon utama dalam Touch ‘n Go eWallet yang dikuasakan oleh platform Mini Programme eWallet.

“Ini akan membolehkan 16 juta pengguna Touch ‘n Go melihat katalog MR DIY dengan lancar, memesan dan membayar barangan yang mereka inginkan dan mendapatkan khidmat penghantaran untuk pembelian mereka, atau disediakan untuk diambil dari cawangan pilihan mereka.

"Inisiatif ini dijangka dilancarkan kepada umum pada suku ketiga tahun 2021,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, MR DIY sentiasa mencari cara baharu dan inovatif untuk menjadikan perniagaan mereka lebih mudah diakses oleh lebih ramai pelanggan di seluruh negara.

“Usaha sama dengan Touch ‘n Go adalah langkah yang penting untuk membolehkan pelanggan kami menikmati pengalaman membeli-belah tanpa tunai dan menguntungkan di MR DIY. Ini merupakan pencapaian yang besar dalam usaha kami untuk menjadi peruncit pilihan negara, dan kami berterima kasih kepada Touch ‘n Go kerana membantu kami merealisasikannya,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Touch ‘n Go, Effendy Shahul Hamid berkata, keadaan perniagaan kini memerlukan usaha sama yang erat dengan jenama-jenama lain.

“Kami percaya MR DIY adalah rakan kongsi yang paling sesuai dan berharap akan dapat memberi penawaran lebih hebat kepada pelanggan masing-masing.

“Touch ‘n Go dan MR DIY kedua-duanya merupakan jenama kelahiran Malaysia dengan matlamat yang kukuh untuk memberi keutamaan kepada pelanggan.

"Tumpuan tidak berbelah bagi menghasilkan perubahan dalam kehidupan berjuta-juta pelanggan dengan menyampaikan nilai hebat di sepanjang rantaian interaksi pelanggan,” katanya.

Sebagai sebahagian daripada inisiatif dalam usaha sama itu, katanya, pelanggan MR DIY yang membayar menggunakan Touch ‘n Go eWallet di kedai atau dalam talian akan dapat menikmati promosi dan diskaun menarik untuk memberi lebih ganjaran kesetiaan.

Bersempena ulang tahun ketiga pelancaran platform e-dagang MR DIY iaitu www.mrdiy.com.my, pelanggan bakal menikmati lebih banyak manfaat dan ganjaran dalam beberapa bulan akan datang hasil usaha sama strategik berkenaan.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!