Program MAFI prihatin diperkasa dengan penglibatan pihak swasta

Ronald (kanan) ketika simbolik penyerahan daripada sebahagian penyumbang MAFI Prihatin. -Foto ihsan MAFI
Ronald (kanan) ketika simbolik penyerahan daripada sebahagian penyumbang MAFI Prihatin. -Foto ihsan MAFI
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) memperkasakan program MAFI Prihatin dengan penglibatan pihak swasta dalam industri padi beras yang menyalurkan sumbangan barangan keperluan harian dan makanan kepada golongan sasar.

MAFI dalam satu kenyataan berkata, sebanyak 13 syarikat swasta tampil menghulur bantuan dengan nilai keseluruhan berjumlah RM205,400.

"Pelbagai barangan keperluan harian disumbangkan termasuk beras, minyak, gula dan lain-lain serta pelitup muka.

"Antara pihak syarikat dan korporat yang terlibat ialah Padiberas Nasional Berhad (BERNAS), Serba Wangi Sdn Bhd, OEL Distribution (KL) Sdn Bhd, Jasmine Food Corporation Sdn Bhd dan Syarikat Faiza Sdn Bhd.

“Selain itu, syarikat YHL Holdings Sdn Bhd, FGV Sdn Bhd, Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS), Eco Agro Pentagon Sdn Bhd, Yayasan Kebajikan Pelajar Malaysia, Edaran Padi Sdn Bhd (Best Sekinchan) serta Vfive Group Sdn Bhd turut terlibat dalam program ini," katanya pada Jumaat.

Simbolik penyerahan telah disempurnakan oleh Menteri MAFI, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee di Wisma Tani.

Hadir sama, Timbalan Menteri MAFI I, Datuk Seri Haji Ahmad bin Hamzah, Timbalan Menteri MAFI II, Datuk Che Abdullah Mat Nawi dan Ketua Setiausaha MAFI, Datuk Haslina Abdul Hamid.

Program MAFI Prihatin yang dilancarkan sejak Januari lalu bertujuan membantu golongan sasar yang terkesan akibat pandemik Covid-19 dan sumbangan disalurkan juga kepada petugas barisan hadapan.

Artikel Berkaitan:

"Insentif ini turut diberikan kepada golongan yang terkesan akibat banjir dan bencana alam yang lain serta kepada badan kebajikan dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) yang memerlukan.

"Sejak 1 Jun 2021 hingga 18 Julai lalu, seramai 59,816 penerima di seluruh negara mendapat manfaat daripada 264 program di bawah MAFI Prihatin yang disalurkan melalui beberapa agensi kementerian tersebut dengan nilai keseluruhan RM 5.2 juta," menurut kenyataan itu.