Majoriti guru sudah divaksin satu dos

Mohd Radzi Md Jidin
Mohd Radzi Md Jidin
A
A
A

SHAH ALAM - Majoriti guru di negara ini sudah menerima suntikan vaksin Covid-19 dan bersedia untuk pembukaan semula sekolah menjelang 1 September depan.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata, secara keseluruhannya, sehingga kini sebanyak 67.61 peratus daripada kira-kira 400,000 guru seluruh Malaysia telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

"Bagi guru kelas peperiksaan pula, sebanyak 85.17 peratus daripada kumpulan guru itu telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

"Bagi kakitangan sekolah pula, sebanyak 54.52 peratus telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin. Usaha sedang dipergiatkan bagi meningkat kadar vaksinasi dalam kalangan kakitangan sekolah," katanya menerusi hantaran di Facebook beliau pada Jumaat.

Pada 17 Julai lalu, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam satu kenyataan mengumumkan sekolah akan dibuka secara berperingkat untuk Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) bersemuka mulai 1 September ini.

KPM berkata, ketetapan itu diambil mengambil kira kadar vaksinasi membabitkan guru, pentadbir dan kakitangan sekolah.

Bagaimanapun, KPM akan terus mengambil kira penilaian risiko oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi melihat sekiranya terdapat keperluan untuk membuat perubahan terhadap tarikh tersebut.

Mengulas lanjut, Mohd Radzi berkata, KPM akan terus bekerjasama rapat dengan Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) untuk mempercepatkan pemberian vaksin kepada guru dan kakitangan sokongan sekolah.

Artikel Berkaitan:

"Yakinlah, cahaya semakin terang di hujung terowong. Ayuh! Kita tingkatkan semangat kebersamaan untuk kita #MenangBersama," katanya.

Mohd Radzi berkata, kejayaan pemberian vaksin kepada majoriti guru itu seiring dengan pencapaian Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang mencatatkan sejarah tersendiri apabila sebanyak 507,050 dos vaksin berjaya diberikan pada Khamis.

Beliau berkata, ia merupakan kejayaan yang amat membanggakan bagi negara kerana kini Malaysia menjadi antara negara mencatatkan kadar vaksinasi harian tertinggi di dunia.

"Walaupun pada awalnya kadar vaksinasi agak perlahan kerana kekangan bekalan, namun kejayaan ini membuktikan manifestasi usaha gigih kerajaan bersama seluruh rakyat untuk mencapai imuniti kelompok.

"Sehingga Khamis, sebanyak 46.7 peratus dari keseluruhan populasi dewasa telah mendapat sekurang-kurangnya satu dos vaksin dan 21.8 peratus pula telah lengkap menerima vaksin," katanya.