Penduduk lari PKPD, 106 rumah flat kosong

Bancian dilakukan oleh ahli jawatankuasa Zon 5 di Flat Taman Samudera Timur, Gombak.
Bancian dilakukan oleh ahli jawatankuasa Zon 5 di Flat Taman Samudera Timur, Gombak.
A
A
A

GOMBAK - [DIKEMAS KINI] Sebanyak 106 unit rumah di Flat Taman Samudera Timur, di sini yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) didapati kosong.

Ahli Majlis, Majlis Perbandaran Selayang (MPS) Zon 5, Ruhanah Masruki berkata, angka tersebut diperoleh melalui ahli jawatankuasa Zon 5 yang melakukan bancian dari rumah ke rumah bagi tujuan mendapatkan data bilangan isi rumah.

Menurutnya, bancian ke atas 630 rumah di enam blok Flat Taman Samudera Timur tersebut selesai pada Rabu lalu iaitu hari keempat pelaksanaan PKPD di kawasan itu.

"Bancian mendapati 523 unit berpenghuni, 106 unit kosong dan lima unit disenarai di bawah KIV (simpan dalam perhatian) kerana enggan memberikan kerjasama.

" Data ini akan digunakan untuk edaran keperluan makanan asas dan juga pelaksanaan saringan serta suntikan vaksin sepanjang tempoh pelaksanaan PKPD yang dijadual tamat pada 31 Julai," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Beliau tidak menolak ada segelintir penduduk mengosongkan rumah bagi mengelak menjalani PKPD.

"Hanya 68 unit disahkan tidak diduduki sementara yang lain telah meninggalkan kediaman termasuk duduk di rumah anak (enam kes) , pergi berkursus (satu kes), rumah sedang diubah suai (satu kes) dan tiada di rumah (26 kes).

"Tindakan penghuni yang enggan menjalani PKPD ini jelas melanggar perintah dan merisikokan penduduk yang telah ikuti prosedur saringan dan divaksin," katanya.

Bagaimanapun katanya, isu tersebut setakat ini belum dibincangkan dalam mesyuarat jawatankuasa PKPD yang banyak menumpukan kepada soal penyediaan keperluan asas dan bantuan lain.

Artikel Berkaitan:


Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebelum ini memaklumkan Taman Samudera, Mukim Batu, Gombak antara 24 lokaliti dikenakan PKPD berkuatkuasa 18 hingga 31 Julai.

Dianggarkan 3,000 penduduk di Flat Taman Samudera Timur itu menjalani PKPD susulan peningkatan kes Covid-19 di kawasan tersebut.