Pemaju Rumah Selangorku disaran segera serah kunci

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

SHAH ALAM - Pemaju Rumah Selangorku disarankan agar menyerahkan segera kunci rumah kepada pemilik setelah ia siap dibina.

Exco Perumahan, Kesejahteraan Bandar dan Pembangunan Usahawan Selangor, Rodziah Ismail berkata, terdapat segelintir pemaju yang menangguhkan pemberian kunci kepada pemilik rumah berkenaan kerana kekangan prosedur operasi standard (SOP) ketika pandemik Covid-19.

Bagaimanapun beliau menyarankan supaya serahan kunci dapat dilaksanakan dalam kadar segera tanpa perlu mengadakan majlis penyerahan kunci secara besar-besaran.

"Ini bagi memastikan masyarakat tidak lagi terbeban untuk membayar sewa dan pinjaman bank selain mereka boleh terus berpindah ke rumah baharu selepas mendapat kunci.

"Kita tidak tahu apa yang akan berlaku berdasarkan situasi Covid-19 dalam negara, jadi bila ada ruang untuk buat serahan kunci rumah, maka ia boleh terus lakukan," katanya ketika melawat Program Selvax Komuniti di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Hotel De Palma Seksyen 19 di sini pada Jumaat.

Dalam pada itu, Rodziah berkata, projek pembinaan Rumah Selangorku berjalan lancar di seluruh Selangor membabitkan 23,209 unit rumah siap dibina dengan jumlah unit terbanyak di Hulu Selangor dan Petaling.

Katanya, sebanyak 42,874 unit lagi Rumah Selangorku dijangka siap dibina di seluruh Selangor menjelang hujung tahun ini.

Beliau berkata, pihaknya juga sering menerima permohonan daripada pemaju untuk mempercepatkan proses vaksinasi bagi pekerja-pekerja mereka.

Artikel Berkaitan:

"Pembinaan projek Rumah Selangorku masih berjalan seperti biasa, namun banyak pemaju memohon agar mereka boleh disuntik vaksin secepat mungkin.

"Saya harap semua pemaju tidak terlepas pandang kebajikan para pekerja dan segera mendaftarkan vaksin kerana kita perlu mengutamakan kedua-dua sektor ekonomi dan kemajuan," katanya.