Khemah peniaga rosak teruk dipukul ribut

Keadaan khemah peniaga yang musnah dan mengalami kerosakan teruk dalam kejadian ribut awal pagi Jumaat.
Keadaan khemah peniaga yang musnah dan mengalami kerosakan teruk dalam kejadian ribut awal pagi Jumaat.
A
A
A

MELAKA - Lebih sembilan khemah peniaga di Dataran 1Malaysia Klebang, di sini mengalami kerosakan akibat dipukul ribut dalam kejadian awal pagi Jumaat.

Timbalan Pengerusi Persatuan Peniaga Dataran 1Malaysa Klebabg (PPDIMK), Harith Harun, 31 berkata, insiden itu hanya disedari selepas dimaklumkan peniaga lain menerusi kumpulan WhatsApp mereka.

Menurutnya, selepas dimaklumkan dia bergegas ke lokasi kejadian dan terkejut melihat dua khemah perniagaan pakaian miliknya rosak teruk sehingga mengalami kerugian hampir RM5,000.

"Nasib baik sebelum itu saya dah bawa keluar pakaian-pakaian jualan sebelum pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kalau tidak lebih banyak lagi kerugian yang terpaksa saya tanggung.

"Namun ada juga peniaga makanan yang mengalami kerugian yang tinggi disebabkan kejadian ini dan kami diminta untuk membuat laporan polis serta mengambil gambar kerosakan yang dialami untuk diberikan kepada Exco terlibat," katanya.

Jelasnya, apa yang dikesalkan kejadian ribut di kawasan itu bukan kali pertama berlaku sebaliknya sudah dua kali pada tahun ini lebih-lebih lagi lokasinya berada berdekatan dengan pantai.

"Saya harap pengstrukturan bangunan yang pernah dirancangkan sebelum ini disegerakan jika tidak peniaga akan terus dihantui insiden ribut dan mengalami kerugian," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Jumaat.

Artikel Berkaitan:

Keadaan kawasan peniaga di Dataran 1Malaysa selepas dilanda ribut dalam kejadian hujan lebat pada pagi Jumaat.
Keadaan kawasan peniaga di Dataran 1Malaysa selepas dilanda ribut dalam kejadian hujan lebat pada pagi Jumaat.

Sementara itu, Exco Pertanian, Penternakan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Norhizam Hassan Baktee yang turun ke lokasi kejadian berkata, kerajaan negeri akan meminta pihak berkuasa tempatan (PBT) menyegerakan pembinaan bangunan kekal yang pernah dirancang bagi memastikan kejadian ribut tidak berulang sehingga menyebabkan peniaga terpaksa menanggung kerugian berulang kali.

"Saya juga akan membawa salinan laporan polis yang dibuat semua mangsa terbabit kepada Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC), Datuk Mas Ermieyati Samsuddin untuk membincangkan bantuan yang boleh disalurkan bagi meringankan beban peniaga," katanya.

Dalam perkembangan lain, Norhizam yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Batu turut memaklumkan menyalurkan peruntukan sebanyak RM25,000 bagi membina semula bangsal nelayan yang musnah dipikul ribut dalam kejadian di Pantai Rombang, Pantai Puteri.