Ketaksamaan agihan vaksin halangan terbesar tamatkan pandemik

Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus
Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus
A
A
A

GENEVA - Ketaksamaan agihan vaksin menjadi halangan terbesar dunia untuk menamatkan pandemik Covid-19, lapor Agensi Berita Anadolu memetik kenyataan Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) Tedros Adhanom Ghebreyesus.

Menurutnya pengagihan vaksin Covid-19 yang tidak adil bakal memberi kesan terhadap pemulihan sosioekonomi di negara berpendapatan rendah dan sederhana untuk tempoh jangka panjang jika tiada tindakan segera diambil bagi mengatasi masalah itu.

"Pembahagian vaksin secara tidak adil menjadi halangan terbesar dunia menamatkan wabak Covid-19," kata Tedros, yang kini berada di Jepun.

Pada saat negara kaya membelanjakan trilion untuk pemulihan ekonomi, tumpuan juga perlu diberikan dalam usaha untuk memastikan agihan vaksin secara adil segera dilaksanakan.

Menurut Agensi Berita Anadolu, data terbaharu Tabung Kewangan Antarabangsa, Bank Dunia, UNICEF, dan Gavi, mendapati pelaksanaan program vaksinasi serta pemulihan ekonomi adalah lebih cepat di negara kaya berbanding negara miskin.

Negara miskin juga masih belum mampu menyediakan vaksin kepada petugas kesihatan yang boleh mengundang risiko kepada lebih ramai penduduk dunia selain memungkinkan tahap pertumbuhan pra-Covid-19 tidak dapat dicapai menjelang 2024.

"Sementara itu, varian Delta dan beberapa varian lain telah mengakibatkan sesetengah negara memperketatkan semula langkah kesihatan awam," kata laporan itu.

Selain itu kos bagi setiap dos vaksin Covid-19 lebih mahal berbanding vaksin lain termasuk kos penghantaran dan peningkatan tenaga kerja boleh memberi tekanan pada sistem kesihatan yang lemah. Pada masa sama, menjejaskan program imunisasi rutin dan perkhidmatan kesihatan utama. -Bernama

Artikel Berkaitan: