Maritim rampas 70 set bubu naga

Sebanyak 70 set bubu naga dirampas dalam dua pemeriksaan di sekitar perairan Pantai Remis dekat sini sejak Selasa lalu.
Sebanyak 70 set bubu naga dirampas dalam dua pemeriksaan di sekitar perairan Pantai Remis dekat sini sejak Selasa lalu.
A
A
A

LUMUT - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Perak merampas 70 set bubu naga dalam dua pemeriksaan di sekitar perairan Pantai Remis dekat sini sejak Selasa lalu.

Pengarah Maritim Perak, Kepten Maritim Shahrizan Raman berkata, kejayaan itu hasil rondaan Ops Pintas dan Ops Sayong pada kedudukan antara 2.9 hingga 5.3 batu nautika barat laut Pulau Talang, Segari.

Menurutnya, pada pemeriksaan pertama sebanyak 30 set bubu naga dirampas disusuli pemeriksaan pada Khamis berjaya merampas 40 set lagi di perairan sama sekitar jam 6.35 petang.

"Kesemua bubu naga yang dirampas dianggarkan bernilai hampir RM8,400 dengan anggaran RM120 seunit itu dibawa ke Jeti Perikanan Kampung Acheh untuk tindakan dan siasatan lanjut.

"Pemilik bubu naga boleh didakwa di bawah Seksyen 11(3)(c) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan dengan menggunakan kaedah yang tidak dibenarkan," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Jumaat.

Beliau berkata, penguatkuasaan terhadap bubu naga dilihat serius kerana pihaknya sering menerima aduan mengenai segelintir komuniti nelayan yang masih berdegil menggunakannya tanpa memikirkan kesan sampingan terhadap perkembangan habitat marin untuk jangka panjang.

Katanya, penangkapan ikan atau hasil laut menggunakan bubu naga boleh mengancam pertumbuhan habitat marin dan berpotensi pupus serta menjejaskan sumber pendapatan nelayan pantai.

"Justeru, Maritim Negeri Perak mengalu-alukan segala maklumat berkaitan penyalahgunaan apa jua alat penangkapan ikan di perairan Malaysia.

Artikel Berkaitan:

"Komuniti disarankan untuk menyalurkan kepada Maritim Malaysia bagi tujuan penguatkuasaan serta pemuliharaan ekosistem habitat marin," katanya.