KBS peruntuk lebih RM7 juta untuk Majlis Belia Malaysia

Reezal Merican
Reezal Merican
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Belia dan Sukan (KBS) memperuntukkan sebanyak RM7,08,000 juta kepada Majlis Belia Malaysia (MBM) bagi membantu meningkatkan keberkesanan dan kecekapan urus tadbir pertubuhan belia bagi 2021.

Menterinya, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, peruntukan di bawah Inisiatif Prihatin Belia dan Sukan ini akan memberi manfaat kepada MBM dan 145 badan gabungannya iaitu 19 Pertubuhan Belia Peringkat Kebangsaan, 14 Majlis Belia Negeri, 106 Majlis Belia Daerah dan enam Pertubuhan Badan Beruniform.

“Kementerian Belia dan Sukan (KBS) memahami kesulitan yang dihadapi oleh pertubuhan belia khususnya MBM selaku badan induk pertubuhan belia peringkat kebangsaan seperti diperuntukkan di dalam Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia 2007 (Akta 668).

“KBS sentiasa komited dalam memperkasa peranan MBM dan meneruskan pemberian dana bantuan pentadbiran kepada MBM seperti mana dilakukan pada tahun lalu,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata, inisiatif ini akan membolehkan gerakan pertubuhan belia berjalan dengan baik, diuruskan dengan lebih cekap dan berkesan.

Sementara itu, Reezal Merican turut mengucapkan tahniah kepada MBM sempena ulang tahun ke-73 majlis itu yang disambut hari ini serta menzahirkan penghargaan terhadap usaha, inisiatif serta program pelaksanaan MBM sejak penularan Covid-19 yang banyak memberi manfaat kepada belia.

“Perjalanan lebih tujuh dekad gerakan belia di negara ini telah memberi sumbangan besar terhadap pembangunan negara lebih-lebih lagi dalam soal pembangunan modal insan dan bakat kepimpinan di pelbagai peringkat,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: