X

Kindly register in order to view this article
!

10 kenderaan misi Dana Kita diarah berpatah balik

Tangkap layar hantaran di Facebook Mohd Fadli pada Jumaat.
A
A

BENTONG - Sebanyak 10 buah kenderaan termasuk lori milik badan bukan kerajaan (NGO), Pertubuhan Kebajikan Dana Kita diarahkan berpatah balik di sekatan jalan raya (SJR) Plaza Tol Bentong awal pagi Jumaat.

Situasi tersebut dimuat naik oleh Presiden Dana Kita, Mohd Fadli Salleh di laman sosial Facebook miliknya pada Jumaat yang memaklumkan kenderaan yang membawa misi bantuan oleh NGO terbabit ke Terengganu itu diarahkan berpatah balik.

Juga terkenal dengan gelaran Cikgu Korea atau Cikgu Matematik Viral, beliau berkata, misi bantuan tersebut bersama Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) selain turut mendakwa memiliki lima surat kelulusan daripada menteri, Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), PTPTN, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Dalam hantaran yang dimuat naik itu, Mohd Fadli memberitahu, kenderaan terbabit diarahkan mengemukakan dokumen dari Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) daerah.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar ketika dihubungi Sinar Harian mengesahkan perkara tersebut.

Menurutnya, dalam kejadian kira-kira jam 1 pagi itu, kenderaan terbabit tidak mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dengan tidak memiliki dokumen kebenaran.

"Sudah jelas dalam SOP yang ditetapkan, segala pergerakan bantuan bencana atau kemanusiaan oleh NGO perlu mendapatkan kebenaran daripada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri atau daerah di kawasan yang terjejas dan bantuan disalurkan melalui PKOB di kawasan tersebut.

"Pihak polis di SJR perlu tegas dan adil dan jika tidak bersetuju boleh meminta supaya MKN mempertimbangkan semula SOP berkenaan," katanya yang turut memaklumkan tiada kompaun dikeluarkan terhadap kenderaan terbabit.

Pada Selasa, situasi sama dihadapi oleh tiga buah lori membawa misi bantuan kemanusiaan milik pendakwah terkenal, Ebit Lew juga diarahkan berpatah balik di SJR terbabit.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!