Irfan harap sentuhan magis Ijezie

Irfan Bakti - Foto Kuching City FC
Irfan Bakti - Foto Kuching City FC
A
A
A

KUCHING City FC menyandarkan harapan kepada penyerang baharu, Michael Chukwubunna Ijezie untuk mencipta impak besar kepada Il Gatto dalam misi meraih tiga mata menjelang kunjungan Terengganu FC II dalam aksi Liga Premier di Stadium Negeri, Sabtu ini.

Menurut ketua jurulatihnya, Irfan Bakti Abu Salim, kehadiran pemain posisi penyerang dari Nigeria berusia 33 tahun yang pernah beraksi bersama Langkawi City FC itu diharap dapat menyelesaikan masalah ketumpulan penyudah kelab kepulauan Borneo tersebut.

“Saya harap keputusan positif dapat diraih sebab kita dah lama tunggu liga bersambung kembali, jadi macam mana pun kita kena cuba untuk mengutip seberapa banyak mata untuk kekal di Liga Premier.

“Kita tidak ambil mudah menentang Terengganu FC II, dan saya sedar masalah besar kami selama ini adalah susah untuk menjaringkan gol.

“Tetapi, dengan penyerang baharu yang kita ada ini menggantikan yang lama iaitu Bryan Jones, saya dapat lihat dia semakin serasi dengan pasukan ini.

“Jadi, apabila makin serasi, rasanya tiada masalah untuk kita harapkan dia dan rakan-rakan lain agar dapat menampilkan aksi terbaik pada Sabtu ini untuk meraih kemenangan,” kata bekas pengendali Terengganu FC tersebut.

Untuk rekod, Kuching City kini berada pada kedudukan kesembilan liga mengumpul 10 mata selepas mengharungi 10 perlawanan hasil dua kemenangan, empat seri dan empat kekalahan.

Artikel Berkaitan: