Sabah antara negeri terawal terima vaksin CanSino

Hajiji (tengah) mengadakan pertemuan secara maya melalui aplikasi Zoom bersama Khairy di pejabatnya di Kota Kinabalu pada Jumaat.
Hajiji (tengah) mengadakan pertemuan secara maya melalui aplikasi Zoom bersama Khairy di pejabatnya di Kota Kinabalu pada Jumaat.
A
A
A

KOTA KINABALU - Sabah akan diberi keutamaan untuk menerima vaksin dos tunggal CanSino apabila sebanyak tiga juta bekalan vaksin itu tiba di negara ini pada bulan depan.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin Abu Bakar memberi jaminan itu kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dalam pertemuan secara maya di pejabatnya di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS) di sini pada Jumaat.

Menerusi pertemuan itu, Khairy yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berkata, penghantaran pertama akan dibuat untuk Sabah dan kerajaan Sabah diberi pilihan mengenai Johnson & Johnson (vaksin satu dos).

Beliau berkata demikian sebagai maklum balas terhadap Hajiji supaya lebih banyak bekalan vaksin di hantar ke negeri ini.

Hajiji berkata, ia adalah untuk mencapai sasaran vaksinasi di Sabah iaitu sebanyak 60 peratus menjelang Oktober, sekali gus untuk mencapai imuniti kelompok pada akhir tahun ini.

"Ia penting bagi kita supaya dapat menjangkau masyarakat di kawasan pedalaman dan pulau-pulau terpencil yang terhalang disebabkan keadaan muka bumi yang sukar dan jauh.

"Setakat ini, kita telah membuka sebanyak 177 pusat pemberian vaksin (PPV) di seluruh negeri. Dengan kemudahan jangkauan luar serta program Vaksinasi Medic Tentera Darat, kita berada di landasan tepat bagi memastikan lebih ramai akan menerima vaksin," katanya kepada Khairy.

Hadir sama dalam pertemuan itu ialah Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri yang juga jurucakap Covid-19 Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), Dr Rose Nani Mudin menjelaskan, PPV Integrasi pertama Sabah akan bermula minggu depan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC).

"PPV Integrasi akan memberi vaksin secara percuma dan membenarkan hospital swasta membantu untuk mempercepatkan proses vaksinasi, sekali gus mengurangkan beban yang dihadapi hospital awam ketika ini,” katanya.