52,000 syarikat berdaftar bawah Selvax Industri

Rodziah pada sidang akhbar di PPV Hotel De Palma Seksyen 19, Shah Alam pada Jumaat.
Rodziah pada sidang akhbar di PPV Hotel De Palma Seksyen 19, Shah Alam pada Jumaat.
A
A
A

SHAH ALAM- Sebanyak 52,000 syarikat di Selangor mendaftar di bawah Program Vaksin Selangor (Selvax) Industri untuk memastikan pekerja mereka mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 setakat Khamis.

Jawatankuasa Selvax Industri, Rodziah Ismail berkata, seramai 89,653 pekerja didaftarkan oleh majikan di bawah inisiatif tersebut untuk mempercepatkan vaksinasi pekerja mereka.

Namun begitu, hanya syarikat yang tergolong dalam sektor perlu (essential), berisiko dan mempunyai pekerja yang ramai akan diberi keutamaan untuk mendapatkan suntikan vaksin Covid-19.

"Selvax Industri terhad kepada 1 juta majikan sahaja, jadi kita jangkakan kuota tersebut boleh dihabiskan menjelang Oktober, bergantung kepada bekalan vaksin yang akan diterima.

"Pendaftaran untuk Selvax Industri masih dibuka kerana ada syarikat yang ingin mempercepatkan proses vaksinasi demi kebajikan pekerja dan tidak mahu tempat kerja menjadi kluster penyebaran Covid-19," katanya ketika melawat Program Selvax Komuniti di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Hotel De Palma, Seksyen 19, di sini pada Jumaat.

Dalam pada itu, Rodziah turut menggalakkan mana-mana majikan di Selangor yang masih belum mendaftar di bawah program Selvax Industri untuk berbuat demikian kerana pendaftaran berjalan lancar dan tidak mengambil masa yang lama.

Ujarnya, sekitar 43,000 suntikan vaksin di PPV seluruh Selangor mampu djalankan dalam tempoh sehari di bawah program tersebut, bergantung kepada bekalan vaksin yang diterima.

Sementara itu, Rodziah turut memberitahu penangguhan bayaran balik pinjaman untuk peminjam di bawah Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah Selangor) yang dijadualkan berakhir pada hujung Julai ini dijangka dilanjutkan selama enam minggu.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, keputusan tersebut akan dipertimbangkan berikutan peningkatan kes Covid-19 di Selangor yang menggangu ekonomi setempat.

Menurutnya, kerajaan Selangor ingin melihat usahawan yang dibantu oleh Hijrah Selangor dapat terus berniaga walaupun pihaknya tidak mengambil sebarang kutipan sepanjang tempoh moratorium tersebut berlangsung.

"Kita faham keadaan ekonomi di Selangor yang bukan boleh pulih sekelip mata, jadi kita berikan kelonggaran untuk aspek ini.

Namun, jika mereka mempunyai masalah modal, inilah masanya untuk membuat pinjaman tambahan bagi memastikan kelangsungan perniagaan," katanya.