25 warga Bangladesh berhimpun sambut Aidiladha didenda RM125,000

Seramai 25 warga Bangladesh mengaku bersalah kerana melanggar SOP PKP ketika sambutan Hari Raya Aidiladha pada Selasa lalu.
Seramai 25 warga Bangladesh mengaku bersalah kerana melanggar SOP PKP ketika sambutan Hari Raya Aidiladha pada Selasa lalu.
A
A
A

GEORGETOWN - Seramai 25 warga Bangladesh mengaku bersalah melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan berhimpun beramai-ramai ketika sambutan Hari Raya Aidiladha, pada Selasa lalu.

Kesemua mereka membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Norsalha Hamzah di Mahkamah Sesyen Georgetown pada pagi Jumaat.

Sehubungan itu, Norsalha memutuskan kesemua warga asing itu dikenakan denda RM5,000 setiap seorang kerana melakukan kesalahan tersebut.

Kesemua tertuduh boleh dikenakan dua bulan penjara sekiranya gagal membayar denda berkenaan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Rais Imran Hamid, manakala 21 tertuduh diwakili peguam menerusi majikan mereka, Muhammad Arif Shaharuddin, sementara empat lagi yang tidak mempunyai dokumen tidak diwakili peguam.

Mengikut pertuduhan, kesemua mereka yang berusia antara 23 hingga 41 tahun didakwa berhimpun bersama orang lain bagi maksud sosial di dalam sebuah rumah di Taman Desa Mutiara di Batu Maung, Bayan Lepas pada jam 9 malam, Selasa lalu.

Mereka didakwa melakukan kesalahan mengikut Peraturan 10(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) P.U (A) 293/2021.

Kesalahan itu memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Artikel Berkaitan:

Kesemua tertuduh bekerja sebagai buruh binaan di bawah satu syarikat namun hanya 21 daripada mereka mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.

Difahamkan, kesemua mereka ditahan selepas polis menyerbu sebuah rumah di Batu Maung hasil aduan orang awam yang mendakwa sekumpulan warga asing sedang mengadakan jamuan dipercayai bagi meraikan sambutan Hari Raya Aidiladha.