KPDNHEP cadang benarkan dine-in, tingkatkan permintaan bekalan ayam

Kenyataan KPDNHEP pada Jumaat mengenai cadangan dine-in dibenarkan segera bagi meningkatkan permintaan bekalan ayam.
Kenyataan KPDNHEP pada Jumaat mengenai cadangan dine-in dibenarkan segera bagi meningkatkan permintaan bekalan ayam.
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mencadangkan agar aktiviti makan di kedai atau restoran (dine-in) dibenarkan segera bagi meningkatkan permintaan bekalan ayam.

Menurut kenyataan KPDNHEP pada Jumaat, pihaknya mengambil maklum situasi semasa yang dihadapi peniaga dan industri dalam pasaran yang terkesan dengan pandemik Covid-19.

“Industri ayam antara yang terjejas disebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berikutan operasi sektor perkhidmatan makanan dihadkan untuk beli dan bungkus sahaja.

“KPDNHEP telah mengadakan sesi libat urus bersama kementerian, agensi dan industri bagi memastikan mana-mana industri dapat meneruskan operasi perniagaan dengan sebaiknya sepanjang pandemik,” menurut kenyataan itu.

Dalam kenyataan sama, KPDNHEP juga mengambil maklum berhubung situasi kenaikan harga makanan ternakan ayam yang membebankan penternak.

“Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) melalui Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) mengadakan perbincangan bersama pemain industri yang terdiri daripada pengimport, pengeluar, pembekal makanan ternakan dan penternak bagi mencari solusi terbaik,” katanya.

Sementara itu, KPDNHEP juga sentiasa memantau kecukupan bekalan ayam dan memastikan tiada pihak mengambil kesempatan disebabkan kenaikan kos pengeluaran (makanan ternakan ayam) dengan menaikkan harga ayam di pasaran secara tidak munasabah.

“Pemeriksaan dan tindakan dilaksanakan secara harian di setiap rantaian pengedaran bekalan meliputi ladang, pemborong, pengedar dan peruncit,” menurut kenyataan itu.

Artikel Berkaitan:

KPDNHEP turut menyeru pemain industri termasuk industri ayam memastikan pekerja masing-masing segera mendaftar untuk proses vaksinasi menerusi Program Vaksinasi Industri Peruncitan (RiVAC).

“Ia dapat mengelakkan pekerja ladang ayam terdedah dengan jangkitan yang membawa pada penutupan dan merugikan penternak ayam,” ujarnya.

Dalam pada itu, KPDNHEP menggalakkan pengguna menjadi mata dan telinga bagi menyalurkan maklumat berkaitan salah laku peniaga yang melanggar undang-undang di bawah bidang kuasa KPDNHEP melalui portal e-aduan.kpdnhep atau hubungi 1-800-886-800.