SPRM tahan kontraktor, dua pegawai daerah

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

PUTRAJAYA - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan dua pegawai daerah yang masing-masing pernah memegang jawatan Yang Dipertua (YDP) majlis perbandaran di Selangor semalam, berkaitan kes menerima rasuah daripada kontraktor projek dan pemaju perumahan.

Turut ditahan ialah seorang kontraktor bagi membantu siasatan kerana disyaki merasuah kedua-dua lelaki berkenaan bagi membolot projek-projek yang ditawarkan di majlis perbandaran yang diketuai kedua-dua YDP tersebut.

Menurut sumber SPRM, kedua-dua bekas YDP yang masing-masing berumur 47 tahun dan kontraktor berumur 42 tahun itu ditahan di Ibu Pejabat SPRM di sini, ketika hadir memberi keterangan lewat malam tadi dan beberapa serbuan turut dibuat di sekitar Selangor berkaitan kes berkenaan semalam.

Menurut sumber tersebut, kontraktor berkenaan dipercayai mengawal 16 syarikat yang didaftarkan atas nama saudara dan pekerja-pekerjanya bagi mendapatkan projek-projek di dua majlis perbandaran, yang pernah diterajui YDP berkenaan.

"Dianggarkan projek-projek yang dimonopoli mencecah jutaan ringgit sejak 2018 hingga 2021,” kata sumber itu.

Menurut sumber berkenaan, bagi setiap projek yang diperoleh, kedua-dua bekas YDP tersebut akan menerima habuan rasuah sebanyak lima peratus daripada nilai projek.

Pelbagai bentuk suapan rasuah telah diberikan kepada kedua-dua bekas YDP terlibat termasuk sebuah rumah bernilai RM1 juta, wang tunai RM500,000 dan pakej pelancongan ke Eropah bagi meluluskan kebenaran merancang dan pembangunan milik sebuah syarikat pemaju perumahan, kata sumber berkenaan.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya Operasi SPRM Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya mengesahkan tangkapan tiga individu berkenaan bagaimanapun enggan mengulas lanjut.

Artikel Berkaitan:

Ketiga-tiga individu tersebut kini direman selama enam hari bermula hari ini setelah perintah reman hingga 28 Julai dikeluarkan Majistret Shah Wira Abdul Halim selepas mendengar permohonan SPRM di Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Siasatan kes dijalankan di bawah Seksyen 17 (a) Akta SPRM. -Bernama