Inflasi: IHP meningkat 3.4 peratus pada Jun 2021

Mohd Uzir
Mohd Uzir
A
A
A

SHAH ALAM - Indeks Harga Pengguna (IHP) yang merupakan penanda aras bagi inflasi negara menunjukkan peningkatan 3.4 peratus pada Jun 2021 kepada 123.2 berbanding 119.1 pada bulan yang sama tahun lepas.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, kadar inflasi itu kekal positif untuk lima bulan berturut-turut sejak Februari lalu susulan daripada kesan asas yang rendah akibat penyusutan harga bahan api untuk kenderaan persendirian.

“Kumpulan pengangkutan merupakan penyumbang utama kepada kenaikan inflasi keseluruhan iaitu sebanyak 16.6 peratus,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Mohd Uzir berkata, bagi tempoh sama, indeks teras turut meningkat 0.7 peratus yang didorong oleh kumpulan perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain sebanyak 3.2 peratus diikuti hiasan, perkakasan dan penyelenggaraan isi rumah (2.0 peratus) serta makanan dan minuman bukan alkohol (1.3 peratus).

“Indeks teras meliputi barangan tidak termasuk item makanan segar dengan harga paling tidak menentu serta barangan dan perkhidmatan harga dikawal,” ujarnya.

Sementara itu, Mohd Uzir memaklumkan, tujuh negeri menunjukkan peningkatan lebih tinggi daripada paras IHP nasional iaitu Terengganu sebanyak 4.4 peratus, Kelantan (4.1 peratus), Pahang (3.9 peratus), Perak (3.6 peratus), Selangor dan Wilayah Persekutuan Putrajaya (3.5 peratus), Negeri Sembilan (3.5 peratus) manakala Kedah dan Perlis masing-masing 3.5 peratus.

“Kesemua negeri mencatatkan peningkatan bagi indeks kumpulan makanan dan minuman bukan alkohol. Peningkatan tertinggi dicatatkan oleh Terengganu iaitu sebanyak 2.0 peratus,” jelasnya.

Mohd Uzir menambah, IHP tanpa bahan api pula meningkat 1.5 peratus kepada 113.9 berbanding 112.2 bagi tempoh sama yang meliputi semua barang dan perkhidmatan kecuali petrol tanpa plumbum RON95, petrol tanpa plumbum RON97 dan diesel.

Artikel Berkaitan:

Bagi perbandingan untuk Mei, Mohd Uzir berkata, IHP meningkat 0.1 peratus berbanding Mei tahun lepas yang disumbangkan oleh makanan dan minuman bukan alkohol sebanyak 0.3 peratus dan pelbagai barangan dan perkhidmatan (0.1 peratus).

Katanya, momentum yang perlahan itu adalah kesan daripada pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP3.0) dan penutupan operasi bagi sektor bukan perlu yang dilaksanakan sepanjang Jun 2021 sedikit sebanyak telah meredakan tekanan inflasi ini.

Pada masa sama, Mohd Uzir memaklumkan bahawa IHP bagi suku tahun kedua 2021 naik 4.1 peratus kepada 123.1 berbanding 118.2 pada suku tahun yang sama tahun sebelumnya.

“Bagi perbandingan suku tahunan pula, IHP mencatatkan peningkatan 0.5 peratus berbanding suku tahun pertama 2021,” ujarnya.