Kerajaan Sarawak sasar wujud pusat internet di semua PBT, JKKK

Abang Johari
Abang Johari
A
A
A

KUCHING - Kerajaan negeri Sarawak akan menempatkan pusat-pusat internet di kawasan majlis pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) bagi meningkatkan lagi keberkesanan perkhidmatan mereka kepada masyarakat.

Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, langkah ini juga sejajar dengan hasrat untuk memperluas penggunaan teknologi digital khususnya dalam kalangan PBT dalam menyalurkan perkhidmatan mereka.

“Saya tahu di Bandaraya Miri dan Kuching, pihak berkuasa tempatannya sudah menggunakan teknologi (digital) dalam memberi perkhidmatan kepada masyarakat di bawah naungan masing-masing dan saya mahu majlis-majlis kuasa tempatan lain turut berbuat demikian,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menyampaikan amanat pada upacara angkat sumpah pelantikan semula ahli-ahli majlis pihak berkuasa tempatan secara maya di sini pada Jumaat.

Sarawak mencatatkan sejarah apabila sebanyak 758 ahli dari 24 majlis PBT seluruh Sarawak mengangkat sumpah menerima jawatan pada majlis yang dilangsungkan secara maya pada Jumaat diketuai Datuk Bandar Miri, Adam Yii.

Abang Johari berkata, cabaran seterusnya dihadapi oleh kerajaan Sarawak adalah untuk memastikan rakyatnya kekal berdaya tahan, menyesuaikan diri dengan norma baharu agar dapat kembali meningkatkan pertumbuhan dan pembangunan ekonomi Sarawak.

“Saya telah membentangkan Agenda Sarawak semalam dengan saranan untuk memberi fokus kepada beberapa kunci utama Strategi Pemulihan Ekonomi Pasca Covid-19 Sehingga Tahun 2030, bertujuan untuk memastikan Sarawak akan mempunyai masyarakat yang inovatif," katanya.

Menurut beliau, strategi pembangunan ini dengan program dan projek di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 adalah memulihkan ekonomi yang terkesan teruk akibat Covid-19 dan setiap PBT perlu turut sama memainkan peranan penting dalam usaha pemulihan ini.

Artikel Berkaitan:

“Ahli-ahli majlis pihak berkuasa tempatan perlu menyampaikan dan menjelaskan perancangan kerajaan kepada setiap lapisan rakyat Sarawak mengenai agenda pemulihan pasca-Covid-19 agar dapat memajukan Sarawak ke tahap yang lebih cemerlang demi generasi akan datang,” katanya.

Beliau menambah semua ahli majlis PBT juga perlu terus mengamalkan integriti tinggi untuk membantu memastikan Sarawak mencapai imuniti kelompok dalam program vaksinasi yang sedang dilaksanakan bagi membolehkan tumpuan lebih dapat diberikan kepada agenda pembangunannya. - Bernama