LZS lulus 3,500 permohonan bantuan 'one-off'

Saipolyazan (kanan) bersama Mohammad Firdaus (dua dari kanan) menyerahkan sumbangan kepada salah seorang penerima dalam satu majlis ringkas di Masjid Al Faizin, Seksyen 28, Shah Alam pada Jumaat.
Saipolyazan (kanan) bersama Mohammad Firdaus (dua dari kanan) menyerahkan sumbangan kepada salah seorang penerima dalam satu majlis ringkas di Masjid Al Faizin, Seksyen 28, Shah Alam pada Jumaat.
A
A
A

SHAH ALAM - Lembaga Zakat Selangor (LZS) telah meluluskan sebanyak 3,500 permohonan bantuan 'one-off' kepada individu yang terjejas pendapatan susulan pandemik Covid-19.

Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Saipolyazan M Yusop berkata, inisiatif menerusi Program Zakat Selangor Peduli itu dijangka dapat membantu 15,000 orang penerima secara keseluruhan terdiri daripada golongan asnaf, B40, M40 dan mereka yang terkesan.

Beliau berkata, LZS menggalakkan mereka yang terkesan untuk membuat permohonan tersebut berikutan masih terdapat peruntukan agihan yang disediakan sehingga akhir tahun ini.

"Sebahagian daripada bantuan telah diberikan kepada penerima dan kita menggalakkan agar masyarakat yang terkesan supaya memohon bantuan ini," katanya selepas Program Sumbangan Bakul Makanan bersama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam di Masjid Al Faizin, Seksyen 28 di sini pada Jumaat.

Hadir sama pada program tersebut ialah Ketua Polis Balai Sri Muda, Inspektor Mohammad Firdaus Mohd Khairi.

LZS pada 2 Julai lalu mengumumkan peruntukan agihan sebanyak RM69.3 juta secara keseluruhan menerusi pelaksanaan 19 inisiatif bantuan di bawah program Zakat Selangor Peduli yang memberi manfaat kepada 59,322 penerima dan 431 institusi.

Sementara itu, mengulas mengenai program penyerahan berkenaan, Saipolyazan berkata, sebanyak 120 bakul makanan diberikan kepada pihak yang memerlukan meliputi barangan keperluan asas.

"Kerjasama dengan Polis Selangor ini amat baik dalam memastikan kita dapat mengelakkan berlakunya pertindihan bantuan dan melaksanakan agihan zakat dengan cepat kepada mereka yang memerlukan.

Artikel Berkaitan:

"Polis akan menggunakan sumber yang ada untuk membantu mengenal pasti pihak yang memerlukan dan kemudian menyalurkan maklumat kepada LZS," ujar beliau.

Dalam perkembangan sama, Saipolyazan berkata, LZS kini sedang dalam proses bagi membantu anak kepada satu pasangan suami isteri yang meninggal dunia disebabkan Covid-19 di Kuala Langat baru-baru ini.

Katanya, LZS akan menyalurkan bantuan tambahan kepada pihak terlibat menerusi maklumat diterima daripada penolong amil atau pihak berkaitan.

"Kita sedang menyemak maklumat keluarga berkenaan untuk menawarkan bantuan tambahan kepada mereka," katanya.