X

Kindly register in order to view this article
!

1,142 tapak bina beroperasi sejak 1 Jun, 209 langgar SOP

Fadillah ketika ditemui media selepas sesi lawatan bagi meninjau pematuhan SOP di tapak binaan di sekitar Kuala Lumpur hari ini. -Foto Bernama
A
A

KUALA LUMPUR - Sebanyak 933 daripada 1,142 tapak binaan yang beroperasi di seluruh negara bagi tempoh 1 Jun hingga semalam mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan semasa Kawalan Pergerakan dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Menteri Kanan Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, secara keseluruhan 5,766 tapak bina diperiksa di seluruh negara dalam tempoh sama dengan 4,624 daripadanya didapati tidak beroperasi.

"209 tapak bina dilaporkan tidak patuh SOP seterusnya diarah tutup dan antara sebab penutupan termasuk tiada surat kebenaran daripada beroperasi daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) serta tiada kebenaran pihak berkuasa tempatan," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke tapak bina di sekitar ibu negara bagi operasi penguatkuasaan hari ini.

Menurut Fadillah, Sarawak adalah negeri yang mempunyai tapak binaan paling banyak diarahkan tutup iaitu 56, diikuti Selangor (46) dan Kuala Lumpur (18).

Mengulas lawatan di tapak binaan sekitar Jalan Bukit Bintang dan Jalan Yap Kwan Seng hari ini, ujar Fadillah masih terdapat pekerja yang tidak mematuhi SOP sepenuhnya, maka teguran telah diberikan kepada mereka.

Penyelia kata beliau, perlu dilantik bagi memastikan pekerja sentiasa mematuhi SOP selain memastikan kebersihan tapak bina dijaga bukan sahaja untuk mengelak daripada dijangkiti Covid-19, tetapi juga mencegah denggi dan tibi.

"Kedua-dua tapak bina yang dilawat hari ini tiada kes positif, bermakna mereka patuh SOP, tetapi tidak sepenuhnya. Tujuan kita melawat mereka ini supaya mereka dapat tambah baik daripada sudut keseluruhan SOP," katanya.

Dalam pada itu, ujar Fadillah kementeriannya menyasarkan untuk mempercepat Program Vaksinasi Industri Pembinaan (CIVac) bagi mengurangkan risiko kes Covid-19 yang kritikal.

Semalam, Fadillah menerusi satu kenyataan memaklumkan Fasa Dua CIVac akan bermula 5 Ogos depan melibatkan 55,000 pekerja binaan di Pulau Pinang dan Johor, manakala pendaftaran untuk program CIVac di Pahang dan Sabah dijadual dibuka masing-masing pada 25 Julai dan 31 Julai ini melibatkan 20,000 pekerja bagi setiap negeri.

CIVac Fasa Satu bermula sejak 1 Julai lepas di Kuala Lumpur dan Selangor dengan jumlah sasaran pemberian vaksin kepada 40,000 pekerja sektor pembinaan warga asing dan tempatan. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!