Pekerja ladang tidak mengaku salah bakar kereta

Tertuduh (tengah) mengaku tidak bersalah atas dakwaan melakukan khianat dengan api di Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat.
Tertuduh (tengah) mengaku tidak bersalah atas dakwaan melakukan khianat dengan api di Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat.
A
A
A

KUALA PILAH - Seorang pekerja ladang mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat atas dua pertuduhan melakukan khianat dengan api terhadap dua buah kenderaan di rumah ibu mentuanya pada 12 Julai lalu.

Tertuduh, M Devandran, 26, membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dibacakan kepadanya di hadapan Hakim Norma Ismail.

Berdasarkan pertuduhan pertama, tertuduh pada jam 6.45 pagi 12 Julai bertempat di Lorong 11, Kampung Indah, Jempol melakukan khianat api ke atas kereta Proton Satria dengan membakar tilam yang berada di atas belakang bonet kereta terbabit.

Bagi pertuduhan kedua pula, tertuduh pada tarikh, masa dan tempat yang sama didapati melakukan khianat dengan api ke atas kereta Perodua Kancil dengan membakar menggunakan minyak petrol.

Berikutan itu, tertuduh didapati melakukan kesalahan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan bagi kedua-dua pertuduhan itu.

Norma kemudiannya menetapkan 23 Ogos depan bagi sebutan semula kes dan lantikan peguam serta menawarkan jaminan sebanyak RM5,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun, sekiranya tertuduh tidak membayar wang jaminan berkenaan, tertuduh akan dihantar ke Penjara Jelebu.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Christhoper Enteri Anak Mawan manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Artikel Berkaitan: