X

Kindly register in order to view this article
!

Ibu tunggal didakwa cuba bunuh anak

Syarifah Norain (tengah) ketika dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat.
A
A

MELAKA - Seorang ibu tunggal dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat atas pertuduhan cuba membunuh anak perempuan kandungnya berusia setahun sembilan bulan.

Syarifah Norain Mohamad Zali, 32, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa cuba membunuh anak kandungnya itu dengan cara membuangnya ke dalam longkang.

Tindakan itu dilakukan tertuduh kira-kira jam 8.40 malam di tepi longkang di Lorong Pandan dalam Melaka Tengah pada 13 Julai lalu.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda.

Dalam satu lagi pertuduhan di mahkamah sama, tertuduh didakwa telah mendedahkan anaknya itu kepada bahaya sehingga menyebabkan kecederaan.

Syarifah Norain bagaimanapun mengaku bersalah bagi pertuduhan tersebut yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda sehingga RM20,000 mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-kanak 2001.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Nabilalif Mohd. Rosli memohon tarikh baharu untuk serahan fakta kes bagi pengakuan bersalah tersebut dan mencadangkan jaminan RM25,000 bagi kedua-dua pertuduhan.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu jaminan rendah diberikan dengan alasan mempunyai dua anak termasuk seorang berusia enam tahun yang perlu dijaga.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM12,000 bagi kedua-dua pertuduhan dan hukuman bagi pertuduhan kedua akan dijatuhkan pada tarikh sama pada sebutan semula kes 26 Ogos depan.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!