1,000 kali virus dalam badan individu dijangkiti varian Delta

Dr Adham Baba
Dr Adham Baba
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Individu yang dijangkiti varian Delta mempunyai bilangan virus dalam badan sehingga lebih 1,000 berbanding mereka yang dijangkiti Covid-19 daripada varian lain.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, situasi itu membimbangkan kerana varian yang membimbangkan (VOC) Delta mempunyai kadar kebolehjangkitan dan kemudaratan tertinggi berbanding dua lagi VOC iaitu Beta serta Alpha.

"Bilangan virus sehingga 1,000 kali lebih itu adalah bukti saintifik terbaharu," katanya.

Menurutnya, berdasarkan trend penularan VOC, Beta dan Delta semakin menguasai jangkitan Covid-19 dalam kalangan masyarakat terutama individu yang belum mendapat vaksinasi penuh.

ARTIKEL BERKAITAN: Varian Delta bakal maharajalela

"Sehingga 22 Julai (Khamis), sebanyak 392 VOC telah dikesan di Malaysia yang merangkumi 205 jangkitan VOC Beta, 173 VOC Delta dan 14 VOC Alpha," katanya.

Beliau berkata, data penjujukkan genom daripada Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengikut bulan pula menunjukkan SARS-CoV-2 jenis VOC telah menggantikan penularan bukan VOC.

"Ini sekali gus memberi bukti kukuh trend peningkatan VOC," katanya dalam sidang akhbar Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) bersama Menteri Penyelaras, Khairy Jamaluddin Abu Bakar di sini pada Jumaat.

Artikel Berkaitan:

Berdasarkan data, kes VOC mula meningkat pada Mei dengan 56 kes dilaporkan, manakala ia terus meningkat pada Jun dengan 95 kes yang disampel.

VOC adalah nama diberi kepada virus Covid-19 yang telah mengalami mutasi terutama di bahagian tertentu virus.

Ia memberi beberapa ciri-ciri kelebihan kepada virus termasuk kadar kebolehjangkitan yang lebih tinggi dan boleh menjangkiti lebih ramai orang, boleh menyebabkan kemudaratan kepada pesakit serta boleh meningkatkan kadar kematian.

VOC mempunyai tahap kerintangan terhadap antibodi vaksin, sekali gus individu yang sudah mendapat vaksinasi penuh boleh dijangkiti.

Virus berkenaan juga mempunyai tahap kerintangan terhadap rawatan menggunakan antibodi dan terdapat kemungkinan risiko lebih tinggi untuk dimasukkan ke hospital serta unit rawatan rapi (ICU).

Sementara itu, Dr Adham berkata, untuk meningkatkan kapasiti survelan genomik Covid-19, satu konsortium melibatkan tiga kementerian iaitu Konsortium KKM, Kementerian Sains dan Teknologi (MOSTI) dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) telah ditubuhkan.

"Ahli konsortium terdiri daripada pakar Institut Penyelidikan Perubatan (IMR), Institut Biologi Molekul Perubatan UKM (UMBI), Universiti Malaysia Sarawak (Unimas),

Fakulti Perubatan Universiti Malaya, Pusat Penyelidikan dan Pendidikan Penyakit Berjangkit Tropika (TIDREC) UM, Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Institut Genom Malaysia (MGI)," kata beliau.

Dr Adham berkata, konsortium itu telah menerima peruntukan sebanyak RM3 juta untuk menjalankan penjujukan genom SARS-COV-2 membabitkan 3,000 sampel dalam masa tiga bulan bermula Ogos ini.

"Antara kriteria digunakan untuk pemilihan sampel termasuk mempunyai nilai ambang (CT Value) kurang daripada 25, sampel dari kluster positiviti tinggi, kes kematian atau jenazah dibawa ke hospital (BID) atau dari ICU dan beberapa kriteria lain," katanya.

Pada perkembangan sama, Dr Adham berkata, kit ujian air liur untuk saringan kendiri Covid-19 telah berada di pasaran sejak Rabu.

Beliau berkata, orang ramai boleh mula mendapatkannya di farmasi komuniti dan fasiliti kesihatan.

"Terdapat kaedah penggunaan yang perlu dipatuhi; antaranya setiap keputusan ujian masa ada positif dan negatif atau 'invalid' perlu dilaporkan menerusi aplikasi MySejahtera.

"KKM menyeru agar pengguna berasa bertanggungjawab dengan melaporkannya untuk mencegah implikasi kepada orang lain," katanya.

Menurutnya, sekiranya keputusan ujian menunjukkan positif Covid-19, pesakit perlu hadir sendiri ke fasiliti kesihatan swasta, klinikal kesihatan atau Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) berdekatan untuk penilaian.

"Jika keputusan 'invalid', ujian saringan perlu diulang sekali lagi," katanya.