Ops Patuh: DBKL tutup tiga premis, keluar 48 kompaun

Premis yang ditutup kerana menjalankan aktiviti tidak bermoral.
Premis yang ditutup kerana menjalankan aktiviti tidak bermoral.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menutup tiga premis yang dikesan menjalankan aktiviti tidak bermoral (urutan seks) menerusi Ops Patuh terhadap premis perniagaan komersial pada 16 hingga 22 Julai lalu.

Unit Media DBKL berkata, turut disita termasuk kondom, minyak pelincir, video rekoder dan tindakan itu dilakukan di bawah Seksyen 101(1)(v), Akta Kerajaan Tempatan 1976.

Menurutnya, selain itu, sebanyak 10 notis kompaun telah dikeluarkan di bawah Akta 342 terhadap pemilik premis atau syarikat yang ingkar terhadap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang ditetapkan pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"DBKL turut mengeluarkan 38 notis kompaun pelbagai kesalahan lain antaranya 24 notis kompaun UUK 20(1)(b) di bawah UUK Pelesenan Tred, Perniagaan & Perindustrian (WPKL) 2016; lapan notis kompaun UUK 3(1); dua notis kompaun UUK 22(1)(b), UUK Petempatan Makanan (WPKL) 2016 serta lain-lain, " katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Premis yang diperiksa semasa Ops Patuh DBKL.
Premis yang diperiksa semasa Ops Patuh DBKL.

DBKL berkata, sebanyak 434 buah premis diperiksa dalam Ops Patuh DBKL itu termasuk aktiviti perhotelan, pusat urut, restoran, kedai runcit, pasar raya, kedai barangan am dan lain-lain aktiviti yang dibenarkan beroperasi semasa PPN.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, operasi tersebut akan diteruskan dari masa ke masa sehingga tamat tempoh PPN dikuatkuasakan.

"Tindakan khas ini dilakukan mengikut bidang kuasa dan peruntukan undang-undang serta SOP DBKL dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Warga kota digalakkan untuk terus menyalurkan maklumat dan aduan kepada pihak DBKL melalui atas talian seperti link yang telah disediakan http://ispaaadbkl.dbkl.gov.my/eApps/system/index.do," katanya.