Fama Johor sasar jualan RM2.2 juta My Best Buy

Shahrizan (dua, kanan) sewaktu Program My Best Buy dan JTDL di Pejabat Fama Kluang
A
A

SIMPANG RENGGAM - Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) Johor menyasarkan nilai jualan sebanyak RM2.2 juta pada tahun ini melalui program My Best Buy berbanding RM1.97 juta pada tahun lalu.

Timbalan Pengarah Operasi Fama Negeri Johor, Shahrizan Sudiman berkata, pada tahun ini pihaknya turut menyasarkan penglibatan usahawan industri asas tani (IAT) seramai 200 orang dengan bilangan penganjuran sebanyak 200 kali di lebih 60 lokasi di seluruh negeri ini.

"Pada tahun lalu, kita menjangkakan nilai jualan sebanyak RM1.10 juta namun disebabkan sambutan yang memberangsangkan, kita berjaya mencapai keuntungan sebanyak RM1.97 juta dengan pencapaian bilangan usahawan seramai 185 orang.

"Kami jangkakan nilai jualan sebanyak RM2.2 juta pada tahun ini juga dapat dicapai kerana program ini menawarkan harga jauh lebih rendah daripada harga pasaran dan produk-produk jualan juga dijual secara terus tanpa orang tengah dan kita turut adakan program ini di kilang-kilang dan kawasan yang terdapat permintaan," katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas Program My Best Buy dan Jualan Terus Dari Ladang (JTDL) Peringkat Daerah Kluang di Pejabat Fama Kluang, di sini, hari ini.

Turut hadir ialah wakil rasmi Yang Dipertua Majlis Daerah Simpang Renggam (MDSR), Azuan Ngadimi dan Pegawai Fama Daerah Kluang, Mahyuddin Ismail.

Pada masa sama, penganjuran program My Best Buy ini dilihat bukan sahaja memberi faedah kepada pengguna malah membuka peluang kepada usahawan IAT dan usahawan tempatan mengambil peluang memasarkan produk di kawasan mereka kepada orang ramai.

"Pada hari ini, kira-kira 50 usahawan tani mengambil bahagian untuk menjual barangan segar pada harga yang lebih murah antara lima hingga 20 peratus berbanding harga pasaran secara terus kepada pengguna.

“Program ini memberi peluang juga kepada orang ramai boleh melihat dan membeli apa sahaja produk pertanian, ternakan, perikanan dan sebagainya yang disukai dengan harga murah itu,” katanya.

Menurutnya, usahawan IAT yang terlibat juga memberi kerjasama dengan menjual barang-barang keperluan pada harga berpatutan dan menepati objektif penganjuran program My Best Buy tersebut.