Arab Saudi, UAE nafi guna perisian mengintip

Emiriah Arab Bersatu menafikan menggunakan perisikan pengintip buatan sebuah syarikat Israel untuk mengintip orang-orang tertentu dengan menggunakan telefon bimbit. - Foto AFP
Emiriah Arab Bersatu menafikan menggunakan perisikan pengintip buatan sebuah syarikat Israel untuk mengintip orang-orang tertentu dengan menggunakan telefon bimbit. - Foto AFP
A
A
A

RIYADH - Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) menafikan dakwaan bahawa negara itu menggunakan perisian pengintip, Pegasus buatan sebuah syarikat Israel, NSO Group bagi mengintip wartawan dan aktivis hak asasi manusia menggunakan telefon bimbit.

Satu kenyataan daripada Kementerian Luar UAE pada Khamis menyatakan dakwaan tersebut yang mendakwa ia merupakan antara sejumlah negara yang dituduh melakukan pengintipan terhadap wartawan dan individu tertentu adalah tidak mempunyai asas.

Menurut negara itu, tuduhan seumpama itu dikategorikan sebagai palsu, katanya seperti dilaporkan AFP.

Agensi berita rasmi Arab Saudi, SPA turut melaporkan bahawa seorang pegawai kerajaan menafikan dakwaan terbaharu yang dilaporkan media bahawa terdapat satu entiti di negara beraja berkenaan yang menggunakan perisian tersebut bagi memantau panggilan-panggilan telefon.

Pegawai tersebut berkata, dakwaan seumpama itu adalah tidak benar dan Arab Saudi tidak akan membenarkan perkara tersebut daripada berlaku di negara berkenaan.

Arab Saudi dan UAE merupakan antara beberapa buah kerajaan di dunia yang dituduh menggunakan perisian pengintip bagi memantau aktiviti-aktiviti para penentang serta lain-lain pengkritik pemerintah kedua-dua negara.

Sebelum ini terdapat satu senarai yang bocor melibatkan kira-kira 50,000 nombor telefon yang dipasang dengan perisian perisikan itu bagi memantau individu-individu tertentu termasuk ahli-ahli politik. - Agensi

Artikel Berkaitan: