Rentak Brazil belum cukup bagus

Pemain Brazil meraikan kemenangan ke atas Jerman dalam aksi pembukaan Kumpulan D pada Khamis.
Pemain Brazil meraikan kemenangan ke atas Jerman dalam aksi pembukaan Kumpulan D pada Khamis.
A
A
A

PENGENDALI Brazil, Andre Jardine masih belum berpuas hati dengan persembahan para pemainnya walaupun melakar kemenangan bergaya 4-2 ke atas Jerman dalam aksi pembukaan Kumpulan D, Olimpik Tokyo pada Khamis.

Menurutnya, persembahan pemain terutama pada separuh masa kedua tidak seperti yang diharapkan dan perlu diperbaiki bagi mengelakkan kecewa dalam perlawanan akan datang.

"Kami hampir sempurna pada separuh masa pertama dengan apa yang kami rancang menjadi terutama strategi perlawanan dan corak perlawanan Jerman yang telah kami kaji.

"Kami menganalisis pasukan bawah 21 tahun Jerman dengan mereka dilatih oleh jurulatih dan pendekatan yang sama. Kami merangka strategi dan pemain dapat fokus dalam tempoh tersebut.

"Namun, pada separuh masa kedua, beberapa perkara dan strategi kurang menjadi. Formasi pasukan juga sedikit terkesan. Kami akan memperbaikinya sebelum perlawanan akan datang," katanya.

Dalam perlawanan itu, Brazil bermula garang dengan penyerang Everton, Richarlison meledak hatrik dalam tempoh 30 minit perlawanan.

Namun, Jerman mengurangkan defisit menerusi Nadiem Amiri dan walaupun beraksi dengan 10 pemain selepas Max Arnold dilayangkan kad kuning kedua, mereka meledak gol kedua hasil jaringan Ragnar Ache untuk menjadikan kedudukan 3-2 pada minit ke-83.

Paulinho memastikan kemenangan Brazil dengan gol keempat pada masa tambahan untuk memberikan tiga mata berharga buat skuad Samba itu.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, Jardine turut menghamburkan pujian kepada para pemainnya selepas kemenangan tersebut sambil turut mengakui ia perlawanan paling sukar dihadapi dalam kumpulan D itu.

"Apa yang paling penting adalah melakukan debut dengan kemenangan yang luar biasa ini. Walaupun ada beberapa kelemahan, tetapi para pemain berhak dengan kemenangan ini," katanya.