Masri Razali dilantik Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seremban

Masri Razali dilantik sebagai Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seremban.
Masri Razali dilantik sebagai Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seremban.
A
A
A

SEREMBAN - Kerajaan Negeri Sembilan bersetuju melantik Datuk Masri Razali sebagai Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seremban (MBS) yang baharu bermula Jumaat bagi menggantikan Datuk Zazali Salehudin yang bersara wajib.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, penyerahan tugas dan proses mengangkat sumpah telah berlangsung mengikut prosedur operasi standard (SOP) seperti ketetapan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"Kerajaan negeri juga ingin merakam penghargaan kepada Zazali yang merupakan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seremban pertama atas perkhidmatan beliau.

"Beliau menyambut ulang tahun kelahiran yang ke-60 pada Jumaat dan secara rasminya bersara wajib daripada perkhidmatan awam," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Aminuddin berkata, Zazali merupakan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Seremban sebelum dilantik sebagai Datuk Bandar pada 1 Januari tahun lalu.

"Semasa perkhidmatan beliau, Bandar Seremban telah berjaya dinaikkan taraf sebagai sebuah bandar raya dan buat pertama kalinya, dua pihak berkuasa tempatan telah digabungkan untuk membentuk Majlis Bandaraya Seremban.

Artikel Berkaitan:

Penyerahan tugas dan proses mengangkat sumpah Masri (kanan) berlangsung mengikut SOP seperti ketetapan MKN. Turut kelihatan Aminuddin (kiri).
Penyerahan tugas dan proses mengangkat sumpah Masri (kanan) berlangsung mengikut SOP seperti ketetapan MKN. Turut kelihatan Aminuddin (kiri).

"Pengiktirafan Bandar Seremban sebagai Bandar Paling Bahagia dan Bandar Mampan pada tahun 2019; memperkenalkan penggunaan tenaga hijau bagi mengimbangi pelepasan karbon di MBS dengan pemasangan panel solar di Wisma MBS Forest Heights, Pejabat MBS Cawangan Nilai dan Pasar Besar Seremban antara kejayaan di bawah pentadbiran Zazali," katanya.

Sementara itu, Masri berusia 49 tahun sebelum ini merupakan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan (Pengurusan) mendapat pendidikan awal di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Sheikh Haji Mohd Said, Seremban sebelum menyambung pengajian ke Sarjana Muda (Ilmu Wahyu dan Warisan Islam), Universiti Islam Antarabangsa serta Sarjana (Pentadbiran Perniagaan) di Universiti Kebangsaan Malaysia.

Beliau memulakan kerjaya dalam perkhidmatan awam pada tahun 1997 sebagai Pegawai Hal Ehwal Islam di bawah Pentadbiran Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan dan seterusnya Pegawai Tadbir dan Diplomatik di Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) pada tahun yang sama.

Beliau pernah berkhidmat di Kementerian Dalam Negeri, Institut Tadbiran Awam Negara (Intan) dan Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia (JPA) selain pernah menyandang jawatan sebagai Pengarah, Bahagian Pengurusan Sumber Manusia, Jakim sebelum dinaikkan pangkat sebagai Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) pada tahun 2015.