Sultan Selangor zahir penghargaan kepada petugas barisan hadapan

Gambar hiasan - Foto Bernama
Gambar hiasan - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj menzahirkan penghargaan kepada petugas barisan hadapan dan sukarelawan di hospital serta Pusat Pemberian Vaksin (PPV) seluruh negeri ini yang berkorban bagi menangani penularan wabak Covid-19.

Menerusi hantaran dikongsikan di laman Facebook Selangor Royal Office pada Khamis, Sultan Sharafuddin turut berbangga dengan kegigihan pihak terlibat dalam mempercepatkan kadar vaksinasi buat seluruh rakyat negeri berkenaan.

Selain itu, baginda juga mendoakan agar pengorbanan petugas barisan hadapan dan sukarelawan terlibat akan mendapat ganjaran yang setimpal.

"Baginda juga menegaskan bahawa kadar vaksinasi Covid-19 di Selangor perlu diperluaskan bagi mengurangkan kadar kematian yang mencecah 84 kematian sehari (pada 21 Julai)," kata hantaran itu.

Selain itu, Sultan Selangor turut menyeru umat Islam di seluruh negeri ini untuk menghayati dan memahami intipati Khutbah Aidiladha pada Selasa lalu yang memberi penekanan tentang pengukuhan perpaduan serta persaudaraan ummah.

Menerusi hantaran sama, ibadah haji menuntut umat Islam dari pelbagai negara, bangsa dan warna kulit berkumpul bersama-sama dengan satu tujuan iaitu mengabdikan diri kepada ALLAH SWT.

"Antara yang boleh diambil iktibar adalah matlamat pelaksanaan haji dan korban mengajar kita untuk terus mengukuhkan persaudaraan dalam kalangan umat Islam.

"Semoga kita sentiasa berada dalam ikatan persaudaraan yang kukuh, hidup dengan aman dan harmoni agar dapat menjadi benteng serangan musuh Islam," kata hantaran itu.

Artikel Berkaitan: