X

Kindly register in order to view this article
!

Dunia gempar dengan perisian perisikan Pegasus

Gambar fail menunjukkan seorang wanita menggunakan telefon bimbit berhampiran sebuah bangunan yang menempatkan firma NSO Group di negara Israel. - Foto AFP
A
A

KERAJAAN di kebanyakan negara di dunia kini menerima tamparan hebat apabila dituduh menggunakan satu perisian mengintip ke atas telefon bimbit para aktivis politik, eksekutif korporat dan ahli-ahli politik.

Penggunaan perisian tersebut yang dikenali sebagai Pegasus dan dihasilkan oleh sebuah syarikat teknologi, NSO Group dari negara haram Israel itu telah dilaporkan oleh akhbar Washington Post, Guardian, Le Monde dan beberapa media lain baru-baru ini.

Menurut Washington Post, nombor-nombor telefon bimbit yang diperoleh akhbar berkenaan adalah milik ketua-ketua negara, Perdana Menteri, anggota-anggota keluarga diraja Arab Saudi, diplomat, ahli-ahli politik termasuk aktivis dan eksekutif perniagaan.

Berikutan pendedahan itu, pertubuhan bukan kerajaan iaitu Repoters Without Borders menggesa Israel menggantung eksport teknologi mengintip itu selepas beberapa ketua kerajaan termasuk Presiden Perancis, Emmanuel Macron, sejumlah wartawan dan aktivis kanan berada dalam senarai individu yang perlu diintip.

Bagaimanapun, syarikat NSO Group itu kemudian membuat penafian dengan berkata bahawa Macron berada dalam senarai ketua negara yang perlu diintip dengan menggunakan perisikan Pegasus.

Sungguhpun begitu, Presiden Perancis itu kemudian memanggil satu mesyuarat keselamatan pada Khamis bagi membincangkan tentang laporan penggunaan perisian pengintip itu setelah tersebarnya bahawa ia digunakan di negara tersebut.

Sebelum ini, bekas menteri alam sekitar Perancis dan sekutu Macron, Francois de Rugy mendakwa terdapat cubaan untuk menggodam dan mengakses data menerusi telefon bimbit miliknya yang didakwa dilakukan dari Maghribi.

Pada Selasa lalu, beliau menuntut supaya kerajaan Maghribi memberikan penjelasan kepada Perancis dan individu sepertinya berhubung percubaan menggodam data menerusi telefon bimbitnya.

Emmanuel Macron - Foto AFP
Emmanuel Macron - Foto AFP

Justeru, bagaimanakah perisian pengintip itu berfungsi? Bagaimanakah ia boleh berada di dalam telefon bimbit milik individu tertentu?

Para penyelidik percaya pada peringkat awal, perisian penggodaman itu pertama kali dikesan pada tahun 2016.

Ketika itu, ia menggunakan sejenis mesej teks tetapi sebenarnya ia satu muslihat untuk membolehkannya dipasang ke dalam telefon bimbit milik individu yang menjadi sasaran pengintipan.

Penerima-penerima mesej itu hanya perlu menekan satu rangkaian di dalam mesej berkenaan bagi memastikan perisian pengintip itu dimuat turun pada telefon bimbit mereka.

Bagaimanapun, ia mungkin membawa kejayaan yang kecil kerana kerana pemilik telefon bimbit kini semakin berhati-hati ketika menekan rangkaian yang meragukan.

Namun, terdapat versi baharu Pegasus yang dimajukan oleh syarikat NSO Group itu apabila perisian pengintip tersebut mengeksploitasi kelemahan yang terdapat dalam perisian telefon bimbit.

Pada tahun 2019, perkhidmatan mesej WhatsApp menyaman NSO Group dengan mendakwa ia menggunakan kelemahan dalam sistem operasinya untuk memasang perisian pengintip tersebut pada kira-kira 1,400 telefon bimbit.

Versi paling terbaharu ialah Pegasus dilaporkan mengeksploitasi kelemahan dalam perisian IMessage keluaran syarikat komputer Apple.

Melalui cara itu, ia berpotensi memberikan akses kepada satu bilion telefon bimbit keluaran iPhone yang kini sedang digunakan tanpa pengguna perlu menekan satu butang pada telefon mereka itu.

Menurut AFP, para penganalisis percaya bahawa NSO Group memantau laman-laman sesawang yang mana para penggodam menjual maklumat tentang kelemahan keselamatan yang telah ditemui oleh mereka.

Bekas-bekas askar rejim Zionis dilaporkan turut menjadi kakitangan NSO Group. - Agensi


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!