Sindiket edar dadah bersama pistol tumpas

Hasanuddin (dua, kanan) bersama Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud menunjukkan pistol yang dirampas daripada suspek.
Hasanuddin (dua, kanan) bersama Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud menunjukkan pistol yang dirampas daripada suspek.
A
A
A

KOTA BHARU - Polis Kelantan mendedahkan kegiatan pengedaran dadah yang dibekalkan bersama sepucuk pistol jenis Revolver dengan penahanan empat lelaki dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Pinggiran Atira 3, Belakang Sekolah Menengah Kok Lanas, Mahang, Barat, di sini, semalam.

Suspek iaitu dua penternak lembu berusia 53 dan 32 tahun ditahan bersama rakan mereka, seorang kontraktor binaan berusia 24 tahun dan seorang lagi buruh berusia 25 tahun.

Serbuan menemukan 290 botol lut sinar seberat 1.6 kilogram (kg) dadah jenis heroin dan 1.073 kg serta 1.66 gram dadah jenis syabu.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan berkata, bertindak atas maklumat awam, pasukan polis menyerbu rumah berkenaan dan menjumpai bungkusan berpita pelekat yang mengandungi Revolver dan keseluruhan dadah bernilai RM71,980 berkenaan.

Katanya, sebaik menyerbu rumah itu, polis menjumpai sepaket plastik cerah berisi ketulan kristal dipercayai dadah jenis syabu dan serangkai kunci di atas lantai bahagian ruang tamu tingkat atas rumah tersebut.

Pistol yang dibekalkan oleh pembekal dadah dari negara jiran kepada suspek tempatan.
Pistol yang dibekalkan oleh pembekal dadah dari negara jiran kepada suspek tempatan.

“Dipandukan salah seorang suspek membawa polis ke sebuah lagi rumah di taman sama dan pemeriksaan di bahagian ruang tamu tingkat atas rumah tersebut menjumpai sebuah almari kayu.

“Pemeriksaan lanjut di dalamnya menjumpai bungkusan dadah jenis heroin dan bungkusan mengandungi pistol berkenaan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen, di sini, hari ini.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, siasatan awal polis, suspek mengaku mengambil bekalan dadah itu di kawasan pengkalan haram Pohon Jambu Pekan Golok, Thailand dari pembekal di negara jiran dan turut dibekalkan bersama Revolver sebagai pakej bertujuan melindungi kegiatan mereka serta kegunaan peribadi.