Sumbangan atau pelaburan?

No Image Caption
A
A
A

TERLALU banyak perbincangan mengenai derma politik, namun dari masa ke masa perkara ini timbul dalam pelbagai bentuk yang menyebabkan masyarakat teruja untuk terus membincangkan semula.

Keputusan Mahkamah Rayuan pada 16 Julai lalu, sekali lagi menghangatkan perbincangan berkaitan derma yang diberikan kepada setiausaha agung sebuah parti politik, yang juga menjawat jawatan sebagai menteri kerajaan persekutuan pada ketika derma tersebut diberikan. Pemberi derma pula adalah seorang usahawan yang mempunyai kepentingan dalam projek yang dikendalikan kementerian diketuai menteri tersebut.

Sebagai sebuah negara demokrasi, kebebasan berpersatuan adalah salah satu hak yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Parti-parti politik ditubuhkan dengan tujuan untuk menyebarluaskan ideologi politik bagi menarik perhatian dan sokongan untuk membolehkan parti politik memenangi pilihan raya dan seterusnya membentuk kerajaan dan memerintah negara.

Kemuncak perjuangan bagi kebanyakan ahli politik di negara ini adalah untuk menjawat jawatan tertinggi dalam pentadbiran negara seperti menjadi seorang menteri. Hampir kesemua ahli politik akan berusaha untuk memastikan mereka akan kekal menjawat jawatan tersebut dengan apa cara sekalipun walaupun memerlukan perbelanjaan yang besar.

Tidak dinafikan bahawa kegiatan politik memerlukan belanja yang besar. Punca kewangan bagi parti politik adalah daripada yuran keahlian dan sumbangan daripada ahli dan penyokong-penyokong parti. Sesetengah negara membenarkan parti politik untuk menjalankan perniagaan bagi menjana pendapatan, manakala parti-parti politik di Jerman dan Indonesia mendapat peruntukan kewangan dari kerajaan mengikut formula dan peraturan yang ditentukan oleh Parlimen masing-masing.

Sumbangan bagi tujuan kegiatan politik sama ada diberikan kepada parti atau ahli politik bukanlah suatu perkara yang harus dibendung atau diharamkan. Bagaimanapun sumbangan tersebut perlu dikawal selia secara telus dan berintegriti bagi menghalang elemen rasuah atau pengubahan wang haram tidak menular ke dalam institusi politik dan seterusnya ke dalam pentadbiran negara.

Keputusan Mahkamah Rayuan pada 16 Julai jelas menunjukkan bahawa tiada beza antara sumbangan politik melalui cek ataupun secara kutipan dalam tin minuman ketika program ceramah. Bagi si pemberi, sumbangan tersebut adalah sebahagian daripada kebebasan berpolitik, manakala bagi pihak yang menerima pula, tiada undang-undang yang menghalang penerimaan atau menuntut apa-apa laporan berkaitan dengan sumbangan diterima.SogokanIsu besar berkaitan sumbangan politik adalah sekiranya perkara ini tidak diuruskan secara terbuka dengan tadbir urus yang mantap, sumbangan ini boleh ditafsirkan sebagai rasuah atau pengubahan wang haram. Sekiranya perkara ini berlaku, institusi dan ahli politik akan dilihat seolah-olah dibeli oleh penyumbang dana politik sehingga menyebabkan keutuhan parti politik dan kerajaan akan dipertikaikan.

Pengurusan kewangan parti politik di negara ini seolah-olah tidak dipantau atau dikawal oleh mana-mana pihak berkuasa sehingga derma dan perbelanjaan politik menjadi kabur dan hanya dalam pengetahuan individu-individu tertentu sahaja. Pengaliran wang antara akaun persendirian, akaun syarikat dan akaun parti politik tanpa sebarang peraturan yang khusus boleh menyebabkan penyalahgunaan wang sumbangan politik bagi kepentingan diri ahli-ahli politik.

Artikel Berkaitan:

Sumbangan politik bukan hanya dalam bentuk tunai, malah termasuk barangan dan perkhidmatan. Sumbangan ini akan meningkat menjelang pilihan raya.

Walaupun undang-undang sedia ada termasuk Kanun Keseksaan boleh digunakan untuk mencegah rasuah politik, sudah sampai masanya Malaysia mempunyai suatu undang-undang khusus bagi memastikan sumbangan politik tidak dijadikan sebagai suatu pelaburan oleh anasir yang tidak bertanggungjawab untuk menangguk keuntungan ke atas kebebasan sistem pengurusan kewangan parti politik di negara ini.

Rasuah adalah barah yang boleh meruntuhkan negara sekiranya tidak dimusnahkan dari peringkat awal.

* Amerul Muner Mohammad ialah mantan Ketua Pegawai Eksekutif ERC