800 individu disuntik air, bukan vaksin Covid-19 di Uganda

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A
KAMPALA- Siasatan pihak berkuasa Uganda menunjukkan 800 individu disuntik dengan air dan bukannya vaksin Covid-19, menurut laporan Agensi Anadolu.

Pengarah Unit Pemantauan Kesihatan di Kediaman Rasmi Presiden, Warren Naamara dalam temu bual media berkata, dua jururawat sudah ditahan kerana terbabit dalam penipuan itu.

Seorang doktor kini diburu selepas melarikan diri.

"Kita sudah menghantar vial (bebuli) yang disyaki mengandungi vaksin Covid-19 palsu kepada Direktorat Makmal Analitikal Kerajaan dan Lembaga Ubat-ubatan Kebangsaan (NDA) untuk analisis," kata Naamara.

"NDA menghantar sampel yang disyaki mengandungi sampel itu kepada Institut Serum India (SII) untuk analisis. SII mengesahkan bahawa kumpulan vaksin yang dihantar itu mengandungi air dan bukannya vaksin."

Beliau berkata, SII menegaskan bahawa bahawa ia tidak menghantarnya kepada Uganda.

Selain itu, SII juga mengesahkan bahawa label pada produk itu sudah dipalsukan.

Makmal Analitikal juga mengesahkan bahawa vaksin itu adalah palsu.

Laporan itu selepas pendedahan bahawa pihak berkuasa menerima maklumat bahawa suntikan vaksin Covid-19 palsu di hospital kerajaan pada Mei.

Sebilangan pihak yang terbabit ditangkap dan sampel dihantar ke makmal untuk ujian.

Artikel Berkaitan:

Seramai 800 pekerja yang menerima vaksin palsu itu adalah kakitangan syarikat swasta dan ia dibayar oleh oleh syarikat berkenaan.

Dalam pada itu, Kementerian Kesihatan Uganda berkata, setakat ini, 90,656 kes Covid-19 disahkan di negara itu dengan 2,392 kematian.

Seramai 1,427,897 orang daripada 44 juta penduduknya sudah divaksin. - Bernama