Aktiviti ziarah punca 14 individu positif Covid-19

No Image Caption
A
A
A

PUTRAJAYA - Aktiviti ziarah ke rumah salah seorang ahli keluarga membawa padah apabila 14 individu disahkan dijangkiti Covid-19.

Berdasarkan data yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), rumah berkenaan terletak di Jalan Sri Putri 6/11, Taman Putri, Johor Bahru.

Kes indeks merupakan seorang lelaki tempatan berumur 29 tahun yang dilaporkan positif Covid-19 pada 15 Julai hasil saringan di tempat kerja.

KKM melabel kluster berkenaan sebagai Putri Fasa Enam dan seramai 35 individu telah menjalani ujian saringan.

Sementara itu, seorang kanak-kanak berusia empat tahun telah mencetuskan kluster komuniti di Johor sehingga menyebabkan 14 individu dijangkiti Covid-19.

Kanak-kanak itu merupakan kes indeks bagi Kluster Jalan Cenderai Sembilan dilapor positif pada 14 Julai selepas mula bergejala pada 10 Julai.

Nama kluster berkenaan merujuk kepada lokaliti di mana penularan kes-kes dilaporkan berlaku iaitu di Jalan Cenderai 9, Bandar Baru Kota Puteri, Johor Bahru.

Pada perkembangan sama, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, sebanyak 32 kluster baharu dilaporkan pada Khamis.

Artikel Berkaitan:

"Terdapat 20 daripadanya adalah kluster tempat kerja, tujuh kluster komuniti dan masing-masing dua kluster pendidikan swasta serta kumpulan berisiko tinggi," katanya.

Menurutnya, jumlah keseluruhan kluster yang telah dikenal pasti adalah 3,361.

Sebanyak 2,415 kluster telah diisytiharkan tamat manakala 946 lagi masih aktif.