X

Kindly register in order to view this article
!

Kes di Kedah melonjak kerana saringan kontak rapat

Foto 123RF
A
A

ALOR SETAR - Peningkatan kes harian Covid-19 yang mencecah 800 kes di Kedah pada Rabu adalah disebabkan kes saringan kontak rapat kepada pesakit yang positif.

Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, keadaan itu telah menyumbangkan kepada 505 kes sekali gus menyebabkan kes harian melonjak terutama di daerah Kuala Muda dan Kulim.

Menurutnya, berdasarkan pengalaman petugas kesihatan yang mengendalikan kes positif, kontak rapat sering didapati tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan sebahagian tidak menyedari mereka adalah kontak rapat kepada pesakit positif Covid-19.

“Kontak rapat ini akan mendedahkan aktiviti mereka kepada petugas kesihatan yang terpaksa melakukan pengesanan kontak berikutnya.

"Selepas dijangkiti mereka akan dedahkan dengan siapa mereka bergaul, ke mana mereka pergi, hadir majlis sosial, melakukan ziarah, tidak mencuci tangan dan tidak memakai pelitup muka, sembang dekat-dekat, selain bersesak di tempat sempit.

"Kegagalan mematuhi SOP seperti inilah yang didedahkan apabila disahkan positif Covid-19,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Muhammad Sanusi berkata, individu yang positif Covid-19 turut dikehendaki menyenaraikan kontak rapat untuk dilakukan saringan bagi menyekat penularannya.

“Kes positif kontak rapat biasanya kerana mereka tidak patuh SOP, melainkan ahli keluarga yang tinggal serumah.

"Kes harian tetap akan ada kerana virus telah berada dalam komuniti, terutama varian Delta yang lebih cepat dan mudah tersebar. Sekarang didapati Covid-19 tersebar secara sporadic dan airborne,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kadar kes positif di Kedah setakat ini tidak melebihi 10 peratus daripada jumlah saringan, iaitu antara 7 hingga 8.5 peratus.

“Saya cadangkan laporan kes positif juga perlu dilampirkan bersama jumlah ujian saringan untuk perbandingan yang lebih tepat. Saya yakin selepas Kedah mencapai imuniti kelompok melalui vaksinasi, kes akan menurun mendadak.

"Kita perlu ubah strategi sekat penularan selepas vaksinasi. Kadar jangkitan melibatkan individu yang telah divaksin menunjukkan kebanyakannya dalam tahap satu dan dua, mereka boleh lakukan kuarantin kendiri.

"Tumpuan perlu diberikan untuk merawat pesakit tahap tiga hingga lima,” katanya.

Dalam pada itu, Muhammad Sanusi berkata, kadar vaksinasi di Kedah kini sekitar 15 peratus daripada 1.76 juta populasi yang disasarkan, berbanding jumlah penduduk dua juta.

Kedah merekodkan kes harian ketiga tertinggi dalam negara pada Rabu dengan 800 kes baharu, selepas Kuala Lumpur dengan 1,174 kes dan Selangor 5,550 kes.

Berdasarkan kenyataan Jabatan Kesihatan Negeri Kedah, Kulim merekodkan 290 kes baharu, diikuti Kuala Muda dengan 238 kes, Baling (97), Kota Setar (55), Pendang (42), Kubang Pasu (27), Yan (24), Bandar Baharu (14), Langkawi (sembilan), Padang Terap dan Sik masing-masing empat kes.

Terdapat 12 kematian dilaporkan di Kedah daripada keseluruhan 199 kes kematian akibat jangkitan Covid-19 yang dilaporkan pada Rabu, termasuk 33 kes Brought-In-Dead (BID) dan merupakan kes kematian harian tertinggi pernah direkodkan dalam negara.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!