Langkah letak TH di bawah BNM merupakan solusi interim: MOF

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Kewangan (MOF) menjelaskan bahawa pengawalseliaan Lembaga Tabung Haji (TH) di bawah Bank Negara Malaysia (BNM) merupakan solusi interim yang tidak akan mengubah sifat asal institusi simpanan umat Islam itu khususnya dalam pengurusan jemaah haji.

Dalam satu kenyataan pada Khamis, MOF berkata, penyelesaian bersifat sementara itu akan dilaksanakan sehingga dapatan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) dibentangkan kepada kerajaan untuk mempertimbangkan tindakan selanjutnya.

Menurutnya, usaha interim dalam pengawalseliaan TH oleh BNM itu dilakukan dari sudut pengambilan deposit, pengurusan risiko dan kecairan.

“TH tetap kekal melaksanakan fungsi Lembaga Tabung Haji sebagaimana termaktub di bawah Akta Tabung Haji 1995 [Akta 535].

ARTIKEL BERKAITAN: 7 sebab TH tidak wajar diletakkan bawah BNM: Pemuda UMNO

“Selain itu, hal ehwal haji masih kekal di bawah tanggungjawab Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).

“Dari sudut TH pula, lembaga pengarah dan badan pengurusannya tetap mempunyai tanggungjawab utama dalam menentukan hala tuju TH, serta pengurusan dan operasi haji,” menurut kenyataan itu.

MOF turut berkata, penambahbaikan kawal selia TH itu selaras dengan hasrat kerajaan bagi mengembalikan institusi berkenaan kepada mandat asal penubuhannya iaitu menguruskan simpanan pendeposit untuk tujuan menunaikan haji di samping simpanan untuk pelaburan.

Artikel Berkaitan:

Katanya, kerajaan akan tetap menjamin wang simpanan pendeposit di bawah Akta 535 memandangkan TH menerima deposit daripada bakal jemaah haji dan orang ramai.

Penetapan kawal selia di bawah BNM itu menurutnya masih berlandaskan konsep syariah dan ia bakal memantapkan tadbir urus serta mengelakkan penyalahgunaan dana yang bakal memberikan kesan buruk kepada kerajaan sebagai penjamin.

“Kementerian Kewangan juga sedia maklum akan perbezaan mandat dan peranan TH berbanding institusi perbankan yang lain.

“Justeru, Kementerian Kewangan ingin menegaskan bahawa skop pengawalseliaan BNM pada waktu ini, sementara menunggu selesainya RCI, adalah tertumpu hanya kepada pengambilan deposit, serta pengurusan risiko dan kecairan, dengan rangka kerja pengawalseliaan yang berbeza daripada peraturan am yang dipatuhi oleh institusi perbankan lain.

“BNM mempunyai Majlis Penasihat Syariah Satu yang dianggotai para cendekiawan syariah dan individu yang berpengetahuan, berpengalaman dan turut diiktiraf di peringkat antarabangsa,” ujarnya.

No Image Caption

Jelasnya, dengan memanfaatkan kepakaran majlis itu, persepsi berhubung konsep riba bagi meraih pulangan yang terbaik daripada pelbagai pelaburan untuk manfaat pendeposit tidak akan timbul sama sekali.

“Kesemua usaha ini adalah bertujuan untuk terus melindungi hak-hak pendeposit dan memastikan segala pelaburan yang dibuat oleh TH adalah berlandaskan prinsip Syariah,” katanya.

Pada masa sama, Kementerian Kewangan turut menyatakan bahawa kawal selia sesebuah institusi yang strategik dan berkaitan hak rakyat adalah penting di atas prinsip semak dan imbang serta tadbir urus berhemah selari dengan ketetapan Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti-Rasuah.

Pada 15 Julai lalu, MOF memaklumkan pengurusan dan operasi TH akan ditambah baik secara menyeluruh termasuk antara lain melibatkan cadangan dasar model baharu operasi Lembaga TH dan semakan pindaan Akta Tabung Haji 1995.

Kenyataan itu turut menyebut bahawa Jemaah Menteri bersetuju dengan penyenaraian TH sebagai sebuah institusi kewangan Islam yang ditetapkan di bawah Seksyen 223 Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 dan dikawal selia oleh BNM.