'Saya lihat pusaran angin seperti puting beliung berwarna putih'

Selain rumah penduduk, atap zink kedai-kedai di tepi jalan turut rosak akibat dipukul ribut dan puting beliung pada petang Rabu.
Selain rumah penduduk, atap zink kedai-kedai di tepi jalan turut rosak akibat dipukul ribut dan puting beliung pada petang Rabu.
A
A
A

BACHOK - Lebih 100 penduduk dari lapan buah kampung yang terletak di pesisir Pantai Bachok berdepan detik cemas apabila kediaman mereka dipukul ribut dalam kejadian pada petang Rabu.

Kejadian yang berlaku 6 petang dan berlarutan selama setengah jam itu menyebabkan beberapa lokasi terjejas teruk dengan paling ketara di Mukim Pantai Damat di Pantai Irama selain kampung-kampung di Mukim Pengkalan Chengal dan Telong.

Seorang penduduk, Wan Haslinda Wan Ismail, 41 berkata, kejadian itu nyaris meragut nyawa dua anaknya yang berusia 14 tahun (perempuan) dan 11 tahun (lelaki) yang ketika itu berada di dalam rumah.

Menurutnya, ketika kejadian dia berada di tempat kerja yang terletak satu kilometer dari lokasi rumahnya itu.

“Saya sebenarnya memang nak balik ke rumah untuk hantar makanan kepada anak-anak tetapi disebabkan hujan lebat beserta ribut niat itu terbantut.

“Bagaimanapun, saya mendapat panggilan telefon daripada anak perempuan dengan suara terketar-ketar memberitahu rumah kami dihempap pokok kelapa,” katanya.

Dia berkata demikian ketika menerima kunjungan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita negeri, Datuk Mumtaz Md Nawi di rumahnya di Kampung Dara Main, Perupok di sini pada Khamis bagi menyampaikan bantuan segera iaitu keperluan makanan termasuk beras serta selimut kepada mangsa.

Menceritakan lebih lanjut, Wan Haslinda berkata, dia terpaksa menunggu setengah jam sehingga hujan dan ribut reda untuk pulang ke rumah melihat keadaan kedua-dua anaknya itu.

Artikel Berkaitan:

Wan Haslinda (kanan) menerima bantuan segera daripada Mumtaz (kiri) di rumahnya di Kampung Dara Main, Perupok, Bachok pada Khamis.
Wan Haslinda (kanan) menerima bantuan segera daripada Mumtaz (kiri) di rumahnya di Kampung Dara Main, Perupok, Bachok pada Khamis.

“Sebaik tiba di rumah saya lihat mereka dalam keadaan ketakutan, bagaimanapun saya bersyukur mereka terselamat kerana sewaktu kejadian kedua-duanya duduk di bahagian ruang tamu.

“Pokok yang tumbang menghempap bilik kosong di bahagian depan rumah dan anggota dari Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) sudah pun membantu memotong batang pokok serta membersihkan sisa pokok tumbang,” katanya.

Dalam pada itu, seorang pembantu tadbir, Jushafiza Jusoh, 38, berkata, ketika kejadian dia bersama empat anaknya yang berusia antara sembilan bulan hingga 12 tahun dan adik perempuannya itu berada di rumah ibunya yang berusia 61 tahun di Kampung Pengkalan Chengal.

“Kami berada di dalam rumah dan saya lihat di luar cuaca bertukar gelap disusuli hujan lebat sebelum bunyi dentuman petir yang kuat hingga mencemaskan kami.

“Malah tiupan angin kuat dari arah belakang rumah turut dirasai sehingga menerbangkan bumbung di bilik tidur, dapur dan stor serta menampakkan langit,” katanya.

Menurutnya, dia juga dapat melihat pusaran angin seperti puting beliung berwarna putih melalui pintu utama rumah dan kejadian pertama kali itu turut mengakibatkan rumah ibunya dipenuhi air hujan.

“Kami berpelukan semasa sendiri sambil beristighfar sepanjang setengah jam ribut melanda. Walaupun bahagian bumbung rumah rosak teruk namun saya tetap bersyukur kerana kami semua terselamat semasa kejadian ribut,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Rosmayati Che Mat, 48, menyifatkan kejadian ribut itu terburuk yang pernah berlaku pada tahun ini di Kampung Pengkalan Baru.

“Saya dapat dengar bunyi angin yang merempuh ke arah rumah sehingga menerbangkan bumbung zink di bahagian dapur rumah.

“Malah saya dimaklumkan ada kejadian cermin tingkap kereta penduduk yang diparkir di hadapan rumah pecah akibat dihempas ribut,” katanya.

Sejurus kejadian yang menimpa penduduk di Bachok itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Irama, Mohd Huzaimy Che Husin dan Ahli Parlimen Bachok Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz turut turun padang melawat dan menghantar bantuan segera kepada mangsa-mangsa yang terlibat.