X

Kindly register in order to view this article
!

Anwar persoal masa pendakwaan terhadap Syed Saddiq

Tangkap layar kenyataan Anwar di Facebooknya pada Khamis.
A
A

SHAH ALAM - Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempersoalkan masa pendakwaan terhadap Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang dibuat menjelang sidang Parlimen.

Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata, ini kerana setiap kali negara menghampiri tarikh persidangan Dewan Rakyat, kerajaan dilihat akan menggunakan apa sahaja alat yang dimiliki untuk membuat tindakan yang disifatkannya sebagai ‘membuli ahli Parlimen’.

“Setiap kali sidang Parlimen semakin mendekat, kerajaan ini akan guna atau memperalatkan apa sahaja aparat yang ada untuk membuli ahli-ahli Parlimen, berkemungkinan kerana gentar sekiranya undi tidak percaya dilangsungkan.

“Usaha-usaha jelek ini akan berterusan tanpa henti selagi mana mereka masih lemah dan tidak punya majoriti yang cukup di Parlimen.

“Saya juga telah dimaklumkan oleh beberapa ahli-ahli Parlimen bahawa pemerintah turut menggunakan rasuah dan ugutan untuk mendukung kerajaan gagal mereka dengan kedudukan dan perlindungan dari pendakwaan sebagai habuan,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi satu kenyataan di Facebooknya ketika mengulas mengenai pendakwaan dihadapi oleh Syed Saddiq pada Khamis.

Pada Khamis, Syed Saddiq yang juga bekas Menteri Belia dan Sukan menghadapi dua pertuduhan pecah amanah dan salah guna kuasa sumbangan Kempen Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 berjumlah RM1.12 juta di Mahkamah Sesyen, Kuala Lumpur.

Bagaimanapun, beliau yang juga bekas Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Armada) itu mengaku tidak bersalah atas pertuduhan tersebut.

Syed Saddiq pada Rabu turut mendakwa beliau telah diugut untuk didakwa sejak setahun lalu sekiranya tidak menyertai kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Mengulas lanjut, Anwar menggesa agar siasatan yang dilakukan itu dapat dijalankan dengan telus dan profesional.

Pada masa sama, beliau turut meminta kepimpinan Perikatan Nasional (PN) termasuk Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya menghentikan salah guna kuasa yang berlaku dan menerima secara bermaruah bahawa sokongan mereka di Parlimen semakin berkurangan.

ARTIKEL BERKAITAN: Syed Saddiq tak mengaku pecah amanah, salah guna sumbangan PRU14


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!