Waspada amaran gelombang haba!

MOHD RAZALI
MOHD RAZALI
A
A
A

KUANTAN – Ibu bapa, guru dan murid-murid dinasihatkan untuk berwaspada susulan amaran gelombang haba di Semenanjung Malaysia yang dikeluarkan Pusat Operasi Cuaca dan Geofizik Nasional MetMalaysia.

Pegawai Pendidikan Daerah Kuantan, Mohd Razali Mustafar berkata, PPD mengingatkan semua murid turut berhati-hati dengan amaran dikeluarkan.

“Kepada sekolah kita dah maklumkan supaya mengambil langkah yang sepatutnya misalnya tidak terlalu mendedahkan murid-murid kepada cuaca panas dengan cara mengehadkan aktiviti.

“Kalau aktiviti itu boleh dibuat di sebelah pagi, lakukan pagi sahaja. Begitu juga dengan aktiviti sukan yang kita boleh elakkan. Contohnya bola jaring kalau boleh buat indoor, buat indoor. Dan banyak lagi aktiviti lain yang kita ambil langkah untuk mengelakkan terdedah kepada haba,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, hari ini.

Sementara itu, Penolong PPD Maran Burhanuddin Hashim juga menasihati perkara sama kepada seluruh pelajar dan warga pendidik di daerah Maran.

“Amalkan meminum air dalam kuantiti yang cukup mengikut saranan doktor iaitu sekitar 2.5 liter sehari bagi dewasa dan 500ml hingga satu liter sehari bagi kanak-kanak.

“Ini bagi mengelakkan perkara tidak diingini berlaku seperti strok haba dan sebagainya. Bagi pihak sekolah kita memang sudah memanjangkan kenyataan yang dikeluarkan jabatan untuk langkah-langkah pengawasan,” katanya.

Berdasarkan laporan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), 10 kawasan berada pada tahap satu iaitu berjaga-jaga dengan suhu maksimum harian 35 darjah celcius hingga 36.9 darjah celsius sekurang-kurangnya selama tiga hari berturut-turut.

Artikel Berkaitan:

Kawasan yang disenaraikan termasuk daerah Maran, Pahang, Kepong (Kuala Lumpur), Muar (Johor), Chuping (Perlis), Kubang Pasu, Kota Setar dan Sik Kedah.

Di Perak pula meliputi kawasan Hulu Perak, Kuala kangsar dan Kinta. Cuaca panas yang berlaku ketika ini adalah fenomena yang melanda negara berikutan penghujung monsun Timur Laut.