X

Kindly register in order to view this article
!

Kadar kemalangan, kematian pekerjaan tahun lalu catat penurunan

Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A

KUALA LUMPUR - Kadar kemalangan di tempat kerja di seluruh negara menurun sebanyak 20 peratus, manakala kadar kematian pula menurun 45 peratus pada tahun lepas berbanding 2019.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Awang Hashim berkata, sebanyak 32,674 kes kemalangan pekerjaan direkodkan tahun lepas dengan 312 daripadanya adalah kes maut.

"Ini menjadikan kadar kemalangan pekerjaan di Malaysia pada tahun 2020 ialah 2.18 bagi setiap 1,000 pekerja, iaitu penurunan sebanyak 20 peratus berbanding 2.71 pada tahun 2019.

"Kadar kematian pekerjaan pula berkurang sebanyak 45 peratus iaitu 2.09 setiap 100,000 pekerja pada tahun 2020, berbanding 3.83 pada tahun sebelumnya," katanya pada sidang media pengumuman Statistik Kemalangan dan Penyakit Pekerjaan Negara 2020 secara maya pada Khamis.

Awang yang juga Pengerusi Majlis Negara bagi Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (MNKKP) menjelaskan, tiga industri yang mencatatkan kadar kemalangan tertinggi pada tahun lepas ialah perkilangan, pembinaan serta kemudahan utiliti termasuk perkhidmatan kebersihan, elektrik, gas dan air.

Katanya, perkilangan mencatatkan 4.12 kes kemalangan bagi setiap 1,000 pekerja, manakala pembinaan 3.37 dan kemudahan utiliti sebanyak 3.14.

"Tiga sektor industri yang mencatat kadar kematian pekerjaan yang tertinggi ialah pembinaan (6.9), perlombongan dan pengkuarian (3.65) serta perkilangan (3.32), masing-masing untuk setiap 100,000 pekerja," katanya.

Membandingkan untuk tempoh sedekad, jelas Awang kadar kemalangan pekerjaan tahun lepas itu menunjukkan penurunan ketara sebanyak 41 peratus, berbanding 3.68 setiap 1,000 pekerja pada tahun 2010 manakala kadar kematian pekerjaan 2020 pula berkurang sebanyak 68 peratus, berbanding 6.45 setiap 100,000 pekerja pada tahun 2010.

"Antara faktor penurunan kadar kemalangan pekerjaan pada 2020 adalah ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula sejak 18 Mac tahun lepas yang menyebabkan sektor industri tidak beroperasi sepenuhnya, selain kesan tindakan punitif terhadap majikan yang gagal mematuhi kehendak perundangan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP).

"Selain itu, ia juga disebabkan penguatkuasaan dan promosi berkesan oleh Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) dengan menggunakan pendekatan norma baharu, majikan dan pekerja lebih prihatin untuk melaksana dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) termasuk aspek KKP serta keberhasilan jangka panjang pelaksanaan Pelan Induk KKP Negara," katanya.

Sepanjang 2020 juga, ujar beliau JKKP melaksanakan 242,977 aktiviti penguatkuasaan dan pencegahan kemalangan di semua sektor industri, melibatkan sebanyak 232 pendakwaan kes dengan penalti sebanyak RM2.99 juta dan 583 kompaun dikeluarkan berjumlah RM1.91 juta.

Dalam pada itu, tambahh Awang, terdapat peningkatan ketara iaitu lima kali ganda dalam jumlah pelaporan penyakit dan keracunan pekerjaan yang diterima oleh JKKP, iaitu daripada 1,426 kes pada tahun 2010 kepada 9,108 pada tahun 2020.

Sementara itu, katanya, kementerian menerusi MNKKP serta JKKP akan melancarkan Pelan Induk Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara 2021-2025 (OSHMP25) pada suku ketiga 2021, yang bertemakan 'KKP Inklusif - Kebersamaan dan Komitmen'.

“Berdasarkan statistik di atas, kesemua indikator prestasi utama di bawah pelan induk terdahulu iaitu OSHMP 2020 telah berjaya dicapai, pencapaian ini merupakan keberhasilan daripada usaha bersinergi semua pemegang taruh termasuk kerajaan, majikan, pekerja, pengamal KKP, persatuan dan badan bukan kerajaan yang berkaitan,” jelasnya.

Statistik kemalangan dan penyakit pekerjaan negara 2020 yang dibentangkan hari ini dimuktamadkan oleh kementerian itu menerusi MNKKP dan JKKP, serta dijana berdasarkan analisis komprehensif daripada data kemalangan sektor awam dan swasta yang diperoleh daripada JKKP, Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), Jabatan Tenaga Kerja (JTK) serta data Skim Ex-Gratia Bencana Kerja daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kementerian Kewangan. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!