X

Kindly register in order to view this article
!

Wakaf mampu bebaskan ekonomi negara

A
A

SHAH ALAM - “Wakaf menjadi satu perjuangan umat Islam untuk membebaskan ekonomi daripada kapitalisme. Ia menjadi gagasan untuk kita menginfakkan harta, wang ringgit dan juga diri kita ke atas jalan ALLAH.” Demikian kata, Ahli Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Mohd Ghazali Md Noor.

Mohd Ghazali
Mohd Ghazali

Menurutnya, wakaf berbeza dengan sistem kapitalis di mana bank konvensional berurus niaga untuk kepentingan pemegang saham dan cara sistemnya ada unsur riba.

"Oleh itu, kita perlu menjadikan wakaf sebagai satu perjuangan dan urusan wakaf perlu dilakukan sebaik-baiknya.

"Apabila ia dapat untung dan mengikut syarat orang yang beri wakaf, ia menjadikan infak untuk kebaikan masyarakat.

"Ini berbeza dengan orang Barat yang buat untuk kepentingan sendiri dan hanya memberi cukai,” katanya ketika dihubungi untuk berkongsi maklumat mengenai perkembangan wakaf di tanah air.

Beliau yang juga Pengasas Persidangan Wakaf Global berkata, dalam keadaan pandemik Covid-19 di negara ini, umat Islam diseru berwakaf untuk membantu umat manusia dalam menghadapi cabaran hari ini.

Katanya, dalam Islam, tiga perkara penting perlu dibantu iaitu makanan asas, pakaian yang ada nilai iaitu menutup aurat manusia, dan rumah sebagai tempat berlindung. Ia menjadi tanggungjawab kita sesama Muslim untuk menjaga tiga asas tersebut.

"Berbanding dengan zakat, ia digunakan untuk golongan asnaf manakala wakaf memberi manfaat kepada semua, asalkan niat kerana ALLAH SWT.

“Kita bayar zakat harta sebanyak 2.5 peratus apabila cukup syarat setahun. Ini bermakna, ada 97.5 peratus selebihnya kita hendak buat apa? Oleh itu, kita hendak gerakkan wakaf untuk kumpulkan dana. Kini seramai 8.3 juta orang Islam menyimpan sebanyak RM82 bilion di Tabung Haji sejak 1962," ujarnya.

Dalam pada itu, Mohd Ghazali berkata, wakaf adalah satu institusi dalam Islam yang menggerakkan pembangunan ekonomi dan pelbagai aspek kesejahteraan hidup selain boleh digerakkan dengan inovasi teknologi digital dengan menggunakan data raya dan Android bagi membolehkan semua berkomunikasi secara virtual, secara alam maya.

“Apabila kita menjayakan wakaf digital, kesedaran utama umat Islam di negara ini adalah wakaf menjadi platform membebaskan ekonomi kita.

"Jadi kita perlu kuasai bidang e-dagang atau perniagaan lestari dengan menggunakan kaedah dan falsafah wakaf,” ujar panelis di Wacana Al-Quran Edisi #AktifkanMindaWakaf anjuran Yayasan Warisan Ummah Ikhlas dan Sinar harian, 23 Jun lalu.

Beliau berkata, semua pihak perlu memainkan peranan di semua peringkat masyarakat termasuk pihak berkuasa, masyarakat, NGO, ulama dan raja sebagai ketua agama.

"Gagasan wakaf bergerak di peringkat negari tetapi tidak di peringkat negara. Hari ini, kesedaran masyarakat semakin meningkat terhadap wakaf dan berlaku anjakan besar apabila kerajaan baru, Pakatan Nasional telah masukkan segmen wakaf dalam ucapan Belanjawan Negara 2021. Inilah pertama kali wakaf masuk dalam dasar pembangunan negara.

“Di negara kita mengambil wakaf digital sebagai model ekonomi yang terbaharu di dunia. Umat Islam perlu menguasai sistem ekonomi yang berteras teknologi.

"Jika tidak menguasai model tersebut, kita akan terlepas daripada arus perdana iaitu dalam bidang digital ekonomi," jelasnya.

Mohd Ghazali turut menjelaskan bahawa Bank Negara telah memperuntukkan lesen perbankan digital yang berakhir 30 Jun lalu dan beliau serta rakan-rakannya telah menggerakkan satu gagasan untuk menjalankan projek bank digital wakaf enterprise akhirat.

“Gagasan digital bank berteraskan wakaf merupakan satu transformasi yang perlu dicapai bersama sebagaimana kemerdekaan pada 1957. Inilah titik perubahan kerana gagasan ini datang daripada rakyat bukan kerajaan.

"Kita hendak membawa Adeen ala Waqf sebagai perjuangan hidup untuk membudayakan Waqf dalam misi Islam demi membina Peradaban dan Tamadun Islam sepanjang tempoh kita di dunia dan menjadi penghuni Syurga, insya-ALLAH," katanya.

Untuk maklumat lanjut, sila layari https://www.facebook.com/aktifkanmindawakaf.https://www.facebook.com/aktifkanmindawakaf


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!