LZS agih 150 bakul makanan kepada individu terkesan Covid-19

Saipolyazan (dua dari kanan) bersama Mohamad Fakhrudin (dua dari kiri) bergambar bersama bakul makanan sumbangan LZS di IPD Petaling Jaya pada Khamis.
Saipolyazan (dua dari kanan) bersama Mohamad Fakhrudin (dua dari kiri) bergambar bersama bakul makanan sumbangan LZS di IPD Petaling Jaya pada Khamis.
A
A
A

PETALING JAYA – Lembaga Zakat Selangor (LZS) mengagihkan sebanyak 150 bakul makanan di bawah inisiatif Zakat Selangor Peduli, yang akan diedarkan dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) kepada mereka yang terkesan pandemik Covid-19.

Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Saipolyazan M Yusop berkata, bakul-bakul makanan tersebut diserahkan kepada Ibu Pejabat Daerah (IPD) Petaling Jaya yang disampaikan oleh Ketua Divisyen Operasi Agihan Asnaf, Mohd Sabirin Mohd Sarbini kepada Ketua Polis IPD Petaling, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid.

Menurutnya, LZS memperuntukkan agihan zakat sebanyak RM100,000 dalam bentuk 1,000 bakul makanan di bawah inisiatif tersebut yang diberikan kepada IPD di Selangor untuk diagihkan menerusi pelbagai pihak kepada golongan yang memerlukan.

"Setiap satu bakul bernilai RM100 ini mengandungi makanan keperluan asas seperti beras, minyak masak, gula, tepung, sardin dan pelbagai barangan kering.

"Kita menyediakan sebanyak 26,350 bakul makanan yang akan diserahkan kepada pihak PDRM dan pihak lain termasuk jawatankuasa penduduk, amil masjid dan sebagainya supaya ia boleh diagihkan.

"Inisiatif ini termasuk 14,758 bakul makanan seumpama ini yang dihantar ke rumah-rumah di Selangor setiap bulan, di samping bantuan-bantuan lain," katanya pada sidang akhbar di IPD Petaling Jaya, di sini pada Khamis.

Sementara itu, Mohamad Fakhrudin berkata, sebanyak 348 laporan diterima oleh pihaknya berkenaan individu terjejas pendapatan akibat Covid-19 menerusi talian hotline, rondaan dan makluman daripada penduduk sekitar.

Selain itu, satu program Op Bantu dengan kerjasama Kementerian Dalam Negeri (KDN) melalui PDRM, Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela), dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dilaksanakan pada awal Julai lalu berjaya mengesan 300 individu yang terjejas akibat Covid-19.

Artikel Berkaitan:

"Melalui Op Bantu, kita berjaya mengagihkan sebanyak 98 bakul makanan kepada mereka, manakala bakinya akan disalurkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk tindakan selanjutnya.

"Pihak kami menjalinkan kerjasama dengan LZS sejak Op Bantu dilaksanakan pada awal Julai lalu dan menerima 50 bantuan bakul makanan yang diagihkan kepada mereka yang memerlukan," katanya.