Perancis dikritik susulan cara tangani protes ves kuning

Penunjuk perasaan ves kuning dikawal ketat polis rusuhan ketika berhimpun di Paris, Perancis. - Foto AP
Penunjuk perasaan ves kuning dikawal ketat polis rusuhan ketika berhimpun di Paris, Perancis. - Foto AP
A
A
A

PARIS - PERANCIS. Seorang pegawai tinggi Eropah mengkritik cara pihak berkuasa Perancis menangani protes ves kuning yang menggugat keamanan negara berkenaan sejak beberapa bulan lalu, dan mendesak kerajaan agar lebih menghormati hak asasi manusia.

Susulan lawatan ke Paris bulan lalu, Pesuruhjaya Hak Asasi Manusia di Eropah, Dunja Mijatovic menulis sebuah memorandum yang dikeluarkan hari ini, meminta kerajaan Perancis mengelak daripada mengenakan sekatan melampau berkaitan kebebasan berhimpun secara aman melalui rang undang-undang yang sedang dibahas di Parlimen Perancis.

Rang undang-undang kontroversi itu menyasarkan 'pembuat kacau' yang menggunakan protes sebagai alasan untuk menyerang pihak polis.

Mijatovic yang turut mengakui kesukaran pihak polis dalam menjalankan operasi, menyarankan mereka yang menjadi mangsa keganasan polis agar membuat laporan secara sistematik.

Beliau turut melahirkan kebimbangan berhubung penahanan penunjuk perasaan tanpa sebarang alasan kukuh, menurutnya, pihak berkuasa Perancis harus memastikan rang undang-undang anti pengacau itu tidak melanggar hak untuk mengadakan perhimpunan.

Rang undang-undang yang dimaksudkan boleh menghalang penduduk daripada menyertai protes sekiranya ia dianggap ancaman serius kepada keamanan awam.

Ia juga mampu memaksa penunjuk perasaan yang terlibat dalam insiden keganasan untuk membayar harga kerugian dan menghalang penunjuk perasaan daripada memakai topeng muka.

Dalam kenyataan bertulis menjawab memorandum berkenaan, Perancis berkata, langkah keselamatan yang diambil ketika menangani protes anti kerajaan adalah bertujuan untuk memastikan keselamatan penunjuk perasaan.- Press TV

Artikel Berkaitan: