Lepas didakwa, Syed Saddiq nasihat ahli Parlimen jangan 'lompat'

Syed Saddiq pada sidang akhbar di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pada Khamis. - FOTO SINAR HARIAN/ ROSLI TALIB
Syed Saddiq pada sidang akhbar di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pada Khamis. - FOTO SINAR HARIAN/ ROSLI TALIB
A
A
A

KUALA LUMPUR - Selepas dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis, bekas Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman memberi nasihat kepada Ahli Parlimen UMNO dan parti politik lain agar tidak 'melompat'.

Syed Saddiq yang juga Ahli Parlimen Muar berkata, ketika berada di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebelum ini, beliau turut dimaklumkan, lebih ramai ahli Parlimen lain akan dipanggil.

Malah katanya, ada juga yang dijadualkan semula, kerana berlaku penangguhan.

"Mesej saya kepada mereka, jangan tunduk kepada pihak yang mengugut, jangan takut tetapi jadilah berani kerana benar.

"Jangan kerana kita diugut sebelum Parlimen bersidang, kita kembali semula dan sokong mereka, atau bagi pihak pembangkang nak melompat," katanya pada sidang akhbar pada Khamis.

Syed Saddiq berkata, beliau yakin semua ahli Parlimen baik di pihak kerajaan mahupun pembangkang mempunyai integriti, prinsip dan maruah.

Justeru katanya, usah tunduk kepada ugutan kerana prinsip dan maruah bukan untuk dijual beli.

Syed Saddiq berkata demikian bagi mengulas kenyataan 'kluster mahkamah' yang dibuat Datuk Seri Najib Razak menerusi laman sosial Facebooknya, pagi Khamis, sejurus beliau dibebaskan dengan ikat jamin atas pertuduhan pecah amanah dan salah guna sumbangan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 di Mahkamah Sesyen di sini.

Artikel Berkaitan:

Pada jam 3 petang, Syed Saddiq selesai membayar wang jaminan RM80,000 di kaunter jamin mahkamah manakala baki RM250,000 lagi perlu dilangsai sebelum Selasa depan.

Hadir sama Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh; Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil; Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tian Chua dan ibu bapa Syed Saddiq iaitu Syed Abdul Rahman Syed Abdullah Al-Sagoff serta Sharifah Mahani Syed Abdul Aziz.

Dalam pada itu, Syed Saddiq turut mempertikaikan kenapa pertuduhan dibuat tiga hari sebelum Parlimen bersidang sedangkan pihak pendakwaan mendapat izin untuk mendakwa sejak tujuh bulan lalu.

Katanya, ini menunjukkan kes terhadapnya adalah bermotifkan politik dan yakin menerusi perbicaraan kelak, mahkamah akan bersihkan namanya daripada pertuduhan berkenaan.

ARTIKEL BERKAITAN: Syed Saddiq tak mengaku pecah amanah, salah guna sumbangan PRU14