A Kadir diingat tidak bersifat kacang lupakan kulit

A Kadir (kiri) dan Mohd Razlan
A Kadir (kiri) dan Mohd Razlan
A
A
A

SHAH ALAM - Tokoh Wartawan Negara, Datuk A Kadir Jasin diingatkan agar tidak bersifat ibarat kacang lupakan kulit dalam meletakkan kesalahan kepada orang lain.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Mohd Razlan Rafii berkata, penulisan A Kadir dilihat memburukkan UMNO dengan tuduhan kerajaan tidak dipilih oleh rakyat.

“A Kadir terlupa, kerajaan yang jatuh adalah akibat daripada tindakan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang meletakkan jawatan, malah UMNO dan Pas menuntut untuk pilihan raya diadakan, namun ia tidak diperkenan oleh istana atas sebab kepentingan rakyat.

“Ibarat tersandung batu, janganlah nak salahkan orang lain, yang hilangkan majoriti di Parlimen terhadap Pakatan Harapan (PH) adalah Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

“Malah A Kadir merupakan Ahli Majlis Tertinggi ketika itu, beliau lebih tahu apa yang terjadi dengan parti beliau dengan rakan-rakan beliau dalam PH,” katanya dalam siaran di Facebooknya pada Khamis.

Mengulas lanjut, Mohd Razlan berkata, UMNO dan Pas hanya memenuhi kehendak istana dan memelihara kepentingan rakyat yang ketika itu mahukan negara yang lebih baik daripada pemerintahan PH.

“Malah, dalam baru setahun jagung memerintah, perebutan jawatan Perdana Menteri antara Dr Mahathir dan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim makin menjengkelkan, dalam waktu rakyat dahagakan formula dan janji manifesto, rakyat kehilangan pekerjaan, PH berebut untuk menukar Perdana Menteri.

“Ini semua menyebabkan rakyat tidak selesa dengan PH, Pakatan Harapan menjadi 'pakatan hilang harap' untuk rakyat Malaysia,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Mohd Razlan menyarankan A Kadir agar tidak menghina parti UMNO kerana apa yang A Kadir ada pada hari ini adalah hasil daripada perjuangan parti tersebut.

“Tidak ada salahnya Barisan Nasional (BN) memerintah semula negara ini, semua tuduhan A Kadir sudah dibawa dibicarakan di mahkamah,” jelasnya.