Pendakwaan Syed Saddiq beri keadilan semua pihak: MCW

Jais
Jais
A
A
A

SHAH ALAM - Malaysia Corruption Watch (MCW) menyifatkan pendakwaan terhadap bekas Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dapat memberi keadilan kepada semua pihak.

Presidennya, Jais Abdul Karim berkata, pendakwaan itu juga memberi peluang kepada Syed Saddiq untuk membersihkan namanya dan menjelaskan kepada rakyat Malaysia dari mana punca wang tersebut secara terperinci.

Menurutnya, ini kerana rakyat Malaysia berhak untuk mengetahui fakta sebenar dan adalah wajar Ahli Parlimen Muar itu menunjukkan sifat bertanggungjawab dan berintegriti tinggi sekiranya mahu terus layak sebagai bakal pemimpin negara pada masa depan.

"Pertuduhan ini adalah peluang terbaik untuk Syed Saddiq 'cakap serupa bikin' dan berani kerana benar. Buktikan bahawa beliau pernah menyatakan tidak akan menyorokkan apa-apa berkaitan isu ini dan bersikap berani kerana benar.

"Tambahan pula sebagai ahli Parlimen yang selalu bercakap tentang anti rasuah dan salah guna kuasa, beliau mestilah jujur, matang dan bersikap terbuka dalam hal ini,

"Jangan politikkan isu ini dengan kononnya ada usaha untuk membawa beliau lompat parti dalam kes ini. Sila jelaskan kepada mahkamah jika mahu rakyat mempercayai beliau. Jika benar tidak bersalah, tidak perlu takut," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Mengulas lanjut, Jais meminta semua pihak menghormati fungsi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebagai sebuah badan bebas dalam mengendalikan kes-kes rasuah.

"Rakyat yakin bahawa penyiasatan yang dijalankan SPRM adalah secara profesional berdasarkan bukti-bukti yang ada dan tidak pernah berpandukan kepada fitnah atau tohmahan semata-mata.

Artikel Berkaitan:

"Mahkamah pula akan menentukan dan menjatuhkan hukum sama ada ia fitnah atau tidak dan akan membuat keputusan berdasarkan bukti yang dikemukakan," katanya.

Pada masa sama, beliau berpandangan, rasuah politik dan sikap integriti yang paling rendah ialah tindakan 'lompat parti' dalam kalangan ahli politik sekali gus memberi kesan besar terhadap integriti dan 'governans' negara.

Justeru, beliau berharap satu undang-undang khas wajar diperkenalkan menerusi Akta Parti Politik Malaysia (APPM) bagi memastikan hal sedemikian dapat dikawal.

"APPM mestilah merangkumi pengurusan pendaftaran parti politik dan mengawal segala hal berkaitan kewangan dan laporan tahunan serta hal-hal lain demi memastikan tiada salah urus atau salah guna kuasa berlaku.

"Ia lebih menyeluruh dari sekadar mengawal isu pendanaan parti politik seperti yang dicadangkan melalui AktaAkta Sumbangan dan Perbelanjaan Politik (PDEA)," katanya.