Program vaksinasi industri pembinaan Fasa Dua mula 5 Ogos ini

Fadillah - Foto Bernama
Fadillah - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Fasa Dua Program Vaksinasi Industri Pembinaan (CIVac) akan bermula 5 Ogos depan yang melibatkan seramai 55,000 pekerja binaan di Pulau Pinang dan Johor, kata Menteri Kanan Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof.

Beliau berkata, pendaftaran telah dibuka pada 12 Julai lepas dengan sebanyak 30,000 slot diperuntukkan untuk Pulau Pinang dan 25,000 slot untuk Johor.

"Sehingga kini semua slot di Johor telah habis ditempah, manakala di Pulau Pinang pendaftaran masih diteruskan dan 22,800 slot telah diambil setakat ini.

"Tarikh pemberian vaksin bagi Johor dan Pulau Pinang akan bermula pada 5 Ogos sehingga 15 September depan," katanya dalam kenyataan di sini pada Khamis.

Menurut beliau, pendaftaran untuk program CIVac juga dijadualkan dibuka di Pahang dan Sabah masing-masing pada 25 Julai dan 31 Julai ini untuk 20,000 pekerja binaan bagi setiap negeri.

Tambahnya, CIVac Fasa Satu telah bermula sejak 1 Julai lepas di Kuala Lumpur dan Selangor dengan jumlah sasaran pemberian vaksin kepada 40,000 pekerja sektor pembinaan warga asing dan tempatan.

Menurut Fadillah, sehingga 20 Julai, seramai 24,106 pekerja iaitu 60.26 peratus daripada keseluruhan pekerja yang telah berdaftar dengan program CIVac, telah menerima dos pertama vaksin tersebut.

"Bagi menampung permintaan yang banyak, kementerian sedang memohon peruntukan vaksin tambahan daripada Pasukan Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF) untuk 300,000 pekerja binaan, ini termasuk vaksin tambahan untuk 65,000 pekerja binaan di Kuala Lumpur dan 30,000 di Selangor.

Artikel Berkaitan:

"Penambahan kuota vaksin akan terus dipohon berdasarkan permintaan semasa oleh industri pembinaan," katanya.

Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) juga jelas beliau, akan menyediakan pusat pemberian vaksin (PPV) bergerak sekiranya terdapat permintaan untuk kemudahan tersebut.

Program CIVac merupakan inisiatif vaksinasi Covid-19 untuk pekerja dalam industri pembinaan, satu usaha daripada CIDB yang diterajui Kementerian Kerja Raya untuk mempercepatkan kadar vaksinasi dalam kalangan barisan hadapan ekonomi bagi mengurangkan kluster jangkitan Covid-19 di tempat kerja. - Bernama